Anda marah-marah? Anda "frust"? rasa kecewa yang teramat-amat sangat? Atau bengang sebengang-bengangnya? Awas! Anda mungkin telah membuka beberapa pintu untuk dimasuki oleh syaitan yang terkutuk. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekelian, ada beberapa pintu hati manusia yang akan diterjah masuk oleh makhluk terkutuk ini melalui cara-cara seperti berikut...
1. Putus asa dan kecewa dengan Rahmat Allah. Sikit-sikit "frust" menonggeng, sikit-sikit "give-up", "feed-up" dan yang sebangsa dengannya. Syaitan sukalah orang macam ni. Dia ajaknya panjat bukit, panjat pokok, panjat bangunan kemudian jerit kuat-kuat "lihatlah dunia, aku sudah bosan untuk hidup lagi..." kemudian dia suruh terjun, sekali terjunan terus ke "syurga". Mohon perlindungan dari Allah agar kita tidak tersesat sampai ke situ. Mati sia-sia namanya, tak bau syurga!
2. Memandang rendah pada dosa-dosa kecil. Peringatan ini untuk diri kita yang selalu lupa. Dosa kecil, kalau dikumpul sedikit demi sedikit, lama-lama tak membukit jadinya? Sikit-sikit 'bohong sunat', sikit-sikit 'bohong makruh', lama-lama jadi Pembohong Besar! Kita ni, setiap masa dan ketika, sedar atau tak sedar mungkin berlaku salah dan silap. Mungkin kita tak perasan, atau buat-buat tak peduli, sedangkan di sisi Tuhan satu dosa, satu kemaksiatan telah dilakukan. Jadinya, selalulah mohon ampun dan bertaubat kepada-Nya. Sedangkan Nabi s.aw. yang maksum (tiada dosa) beristighfar setiap hari, mohon keampunan. Mengapa tidak kita?
3. Panjang angan-angan dan suka kepada puji-pujian. Lumrah manusia, suka berkhayal dan berangan-angan. Yang miskin mimpi jadi jutawan, kuli berangan nak jadi tauke, si bujang berkhayal kahwin ngan anak raja, yang dah beranak-cucu pun kemaruk buka cawangan, dan macam-macam lah lagi. Lagi satu, kita ni suka kepada puji-pujian. Tak salah orang memuji jika kebaikan itu wajar mendapat pujian dan boleh diambil manfaatnya. Cuma si penerima pujian itu dibimbangi 'terbang melayang' terawang-awang di awangan dek kerana pujian tinggi melangit. Hilanglah pahala kebajikannya sebab sudah tidak ada lagi ikhlas dalam amalan.
4. Bodoh, sebaliknya tidak menyedari akan kebodohannya. Adanya golongan inilah yang memungkinkan lahirnya suatu ungkapan, "Cerdik tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar". Orang lain tegur demi kebaikan, dikatakan orang nak mengajar dia. Nak diikut cara gaya dia, sememangnya ternyata tidak betul. Habis camno tu? Kadang-kadang sampai bertegang urat leher membantah saranan orang, menyanggah cakap orang, marahkan balik orang yang menegur. Syaitan rapat dengan orang-orang sebegini sebab mereka ini boleh jadi sesat dan menyesatkan orang lain nantinya.
5. Memandang rendah pada orang lain. Nah ini dia penyakit orang lupa diri lagi bongkak sifatnya. Kata orang, kalau lihat bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi. Setinggi mana bintang di langit yang kita lihat, dua kaki kita berdiri berpijak di bumi jugakan! Semakin berkedudukan seseorang, semakin kemaruk nafsu dan kehendaknya. Namun tidak semua begitu. Syukurlah masih ada insan yang selalu menginsafi diri dan senantiasa melafazkan kalimah kesyukuran ke hadrat yang Esa. Memandang rendah pada orang lain bermakna kufur dengan nikmat yang Allah beri. Tinggi kita, tak setinggi mana pun. Kalau Allah nak ambil, sekelip mata sahaja, hilanglah kemulian dan kehebatan kita.
6. Merasa gembira bila mendapat cubaan dari Allah. Pelik bukan! Sepatutnya timbul rasa gerun di hati. Cuba renungi petikan lirik sebuah nasyid ini, "Wahai Tuhanku yang Esa, bila kenangkan Qahhar-Mu, rasa gerun di hatiku, kerana takutkan siksa-Mu, Hamba-Mu rasa berputus asa, tiada lagi dapat bersihkan diri, dari segala dosa yang memburu, setiap hari setiap ketika...", Cubalah menginsafi diri, bila kita ditimpa sesuatu musibah. Apakah itu ujian di atas keimanan?, apakah itu kaffarah dosa-dosa kita yang lalu?, atau itu satu amaran tanda Allah sedang murka terhadap kita??? Ya Allah ampunilah daku, hamba bertaubat...!
7. Ketika marah kerana marah adalah bara api dari neraka. Jangan marah! Jangan marah! Jangan marah! Sememangnya persekitaran hidup hari ini amat mudah untuk mencetuskan api kemarahan dalam diri. Silap sikit naik angin, salah sikit nak meradang. Tak kena sikit, mulalah angin satu badan, habis semua orang kena herdik, kena hamun. Itulah kelemahan kita dan kesempatan untuk syaitan menyemarakkan lagi api ammarah lantas banyaklah hal yang tak diingini terjadi sehingga bunuh-membunuh pun boleh berlaku. Kemudian syaitan akan mengibas-ngibas rasa sesal dan kesal terhadap apa yang kita dah buat. Ingat! sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
8. Ujub, sombong, riya' dan buruk sangka pada orang lain. Bila diri merasa lebih daripada orang lain, itulah dia penyakit-penyakit mazmumah yang akan hinggap di jiwa. Rasa bangga terhadap diri sendiri akan menjahanamkan diri. Rasa tersebut menyebabkan kita merasakan hanya kita yang betul, orang lain salah. Akan timbul rasa apa yang dilakukan lebih hebat daripada orang lain. Wujud pula buruk sangka pada orang lain sedangkan kita hendakkan orang lain baik sangka terhadap kita, manusia apa kita ni... Ingatlah, tidak masuk syurga mereka yang di dalam hatinya terdapat walau sebesar zarah perasaan sombong, ujub dan riya'.
9. Terlalu cinta dan rakus dengan kehidupan dunia. Dunia ini hanya pinjaman. Sifat barang pinjaman akan kembali kepada tuan empunya akhirnya. Janganlah kita mudah tertipu dan terpedaya dengan pesona dunia, kelak kita akan menjadi orang-orang yang rugi dan menyesal di akhirat nanti. Renungilah maksud firman Allah, "Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?" (Surah Al An'aam : ayat 32)
10. Bakhil dengan harta yang diperolehi. Satu lagi penyakit kronik yang hinggap pada sebahagian besar manusia. Bakhil dan kedekut dengan apa yang dimiliki. Berapa ramai orang yang berharta, punya wang juta-juta tetapi amat sulit dan payah untuk membelanjakannya di jalan Allah. Berapa ramai orang kaya lagi berkemampuan tetapi enggan membayar zakat dan menunaikan fardhu haji. Berapa ramai manusia yang mewahnya sampai tujuh keturunan tetapi amat lokek menghulur derma seringgit dua pada tangan-tangan lesu yang meminta simpati.
Sekadar ini sahaja buat renungan kita bersama... jumpa lagi!
4 ulasan:
Salam..
Pintu syaitan menunju pada hati itu banyak, sedang pintu malaikat hanyalah satu.
Tentu kita tidak mengetahui jalan tanpa mata dan sinat mentari
Adapun mata adalah hati yang dicuci dengan taqwa, sedangkan mentari adalah ilmu dari kitab Allah dan sunnah Rasulullah.
Ya Allah ya tuhan ku..kau lindungilah aku dr syaitan yg direjam..kau jauhilah dr bisikan dan hembusannye...amin
Salam Naz...
Temanku pernah berbicara,
"Jangan sesekali kosong dari kesedaran sehingga kita menjadi orang yang tidak berguna dan jangan pula kita kehilangan pandangan sehingga kita menjadi sengsara".
To unrestmind...
"Ya Allah, aku berlindung diri pada-Mu dari kejahatan apa sahaja yang ku lakukan dan kejahatan apa sahaja yang memiliki sifat kejahatan. Tidak ada kekuatan melainkan dengan Allah".
Amin.
Catat Ulasan