Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 26, 2008

AL-AHNAF BIN QAIS

AL-AHNAF BIN QAIS seorang ulama yang terkenal di zamannya. Suatu hari seorang pemuda dari suku Tai'yi berkunjung ke rumahnya. Rumah Al-Ahnaf memang sentiasa dikunjungi oleh orang ramai terutamanya anak-anak murid dan sahabat handainya. Mereka yang datang itu adalah untuk tujuan belajar dan menuntut ilmu dari beliau. Bagaimanapun kedatangan pemuda dari suku Tai'yi ini amatlah menarik perhatian Al-Ahnaf.

Ahnaf mendapati pemuda ini sangat segak dan tampan, berbeza dari pemuda yang sebaya dengannya.

Lalu Ahnaf pun bertanya, "Wahai anak muda! Adakah kamu menghiasi wajahmu dengan sesuatu?"

Jawab pemuda, "Memang benar, saya ada menghiasi wajah saya dengan sesuatu iaitu jika saya bercakap saya tidak pernah berbohong. Kalau ada orang yang sedang bercakap, saya hanya duduk diam dan mendengar. Jika saya berjanji, saya akan tepati janji itu dan jika saya diberikan sesuatu amanah, saya tidak mengkhianatinya."

Mendengar jawapan yang bernas itu maka berkatalah Ahnaf, "Benar akan kata-katamu itu wahai anak muda. Sungguh engkau telah menghiasi dirimu dengan akhlak mulia."
(ANIS/JUN2002)
P/S : Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang dikehendaki baik oleh Allah, maka ia dikurniakan kefahaman, yakni pengertian mengenai ilmu pengetahuan agama dan ilmu itu hanyalah dapat diperolehi dengan belajar." (H.R. Bukhari)
Semoga kita turut menjadi pilihan Allah untuk jadi orang baik2, berilmu dan berakhlak mulia, moga baik kesudahannya nanti, Amiiin!

Isnin, Oktober 20, 2008

Biso Tulang Ikan...

Setelah bersusah payah memukat ikan bagi menanggung kehidupan keluarganya tiba-tiba datang orang lain merampas ikannya itu. Kalau merayu ianya tidak mungkin apatah lagi dengan cara kekerasan sedangkan ia tidak memiliki apa-apa kekuatan. Akhirnya hamba ini pun berdoa kepada Tuhannya, "Ya Allah! Engkau telah ciptakan aku sebagai makhluk yang lemah dan Engkau ciptakan orang lain lebih kuat dan gagah sehingga mereka sesuka hatinya merampas milikku. Maka ciptakanlah makhluk yang lebih kuat dari dia, kalahkanlah dia agar menjadi iktibar kepada semua umat".

Keluhan sinelayan ini telah diangkat oleh Allah s.w.t. Suatu hari penyamun ini telah merampas seekor ikan agak sangat besar. Ikan ini lalu dimasak dan dihidangkan, maka penyamun ini pun menjamahnya dengan penuh berselera. Tetapi malangnya ketika mencubit ikan tersebut tiba-tiba jarinya tercucuk duri ikan. Jari yang terkena duri ikan itu semakin hari semakin membengkak bagaikan kanser. Luka itu menjalar ke seluruh tangan. Menurut pandangan tabib tangannya terpaksa dipotong. Berbagai usaha telah dilakukan tetapi tidak juga mahu sembuh sehingga penyamun ini merasa putus asa.

Pada suatu malam dalam tidurnya ia bermimpi seolah-olah suara sinelayan itu memanggilnya, "Kembalikan ikan itu kepadaku, ia bukan milikmu." Bila tersedar dengan tidak semena-mena timbullah perasaan bersalah dalam dirinya. Hatinya tersentuh akibat peringatan dari mimpi itu. "Memang benar ikan yang aku makan itu bukan milikku, aku mesti mengembalikan kepada pemiliknya," Dengan hati yang bersungguh ia pun keluar mencari nelayan itu. Sesampainya di sana, diserahkan wang sepuluh ribu dirham sebagai gantian ikan yang pernah dirampasnya dulu. Hatinya merasa lapang dari desakan perasaan yang selama ini menghantuinya. Dengan izin Allah sejak hari itu luka di jarinya yang nyaris dipotong kembali pulih seperti sediakala.

"Baik-baik Tam, jangan sampai tercekik tulangnya yo!"

Jumaat, Oktober 10, 2008

MANISNYA RAMBUTAN


Ada apa dengan rambutan ini... "Rambutan" ialah sejenis tumbuhan laa.. Orang panggil pokok apa? "Pokok rambutan". Orang panggil buah apa? " Buah rambutan". Kalau ikut nama saintifiknya, banyak! Tak percaya, beleklah Kamus Dewan. Sebagai contoh nama saintifik bagi rambutan hutan ialah Nephelium lappaceum. Macam mana? betul sebutannya? Soalan cikgu hari ni, "Apakah nama saintifik bagi orang utan pulak?" Hah jawab..


Ni apasal buka cerita pasal rambutan ni... Tak ada apa-apa! Ini adalah sebahagian daripada sekian banyak elemen yang berkaitan antara saya - ayah - emak - adik beradik - rumah kami. Dua-tiga pokok rambutan yang ayah tanam jarang sekali menghampakan membuahkan hasilnya saban tahun. Kurnian Ilahi, rezekiNya yang melimpah ruah.


Rambutanlah antara "umpan" emak dan ayah tiap kali pohonnya berbuah. Anak-anaknya yang jauh di rantau orang digamit untuk pulang menikmati manisnya isi rambutan tiap kali tiba musimnya. "Tak balik ke cuti ni?", "Rambutan tengah lebat buahnya ni", antara manis bicara emak dan ayah mengumpan, he he he..


Dah lebih 30 tahun pokok rambutan dua - tiga pohon tu yang ayah tanam, masih lagi mereka berbudi pada kami. Dan kini, giliran cucu-cucu ayah dan emak pula yang merasa manisnya.


Penutup kata, terimalah sebuah peribahasa yang berbunyi,"gelagah boreh rambutan jantan, orang berbunga dia berbunga, orang berbuah dia tidak", maksudnya 'nasib yang malang seseorang yang berbuat seperti orang lain tetapi tidak beroleh faedah (seperti orang lain)' - Anda ke?

Pak Uteh telah dikerah secara 'paksa' oleh Pak Long untuk mengutip hasil dari pokok rambutan biar pun dalam keletihan berpuasa

Jumaat, September 19, 2008

KEINSAFAN SEORANG ANAK YANG NAKAL

(Dedikasi untuk anak-anak warga SKTBR 1 - sebuah teladan buat kalian)

DICERITAKAN dari Salih bin Amir, di Madinah ada seorang ibu yang mempunyai seorang anak lelaki. Anaknya sangat nakal dan suka keluar waktu malam sehingga waktu pagi. Pekerjaannya hanyalah berkumpul dan sembang kosong di kaki lima bersama-sama kawan-kawannya. Puas si ibu menasihati tetapi kedegilan anaknya lebih mengatasinya.

Pada suatu masa di malam bulan Ramadhan, masjid Rasulullah telah mengundang seorang pendakwah dari Hijaz. Anak lelaki yang nakal itu turut menghadiri majlis tersebut dan mendengar ceramahnya. Pendakwah dari Hijaz itu sangat bijak menyampaikan ceramahnya sehingga ucapannya menyentuh hati nurani setiap orang yang mendengarnya. Anak lelaki nakal itu juga turut terketuk hatinya sehingga dia merasa sedih dan insaf. Dia segera berlari pulang dan memeluk ibunya sambil menangis. Semenjak itu dia mula rajin menunaikan solat dan berzikir sepanjang hari.

Pada suatu senja ketika hari mula beransur gelap, si ibu menemui anaknya dengan membawa hidangan makanan untuk berbuka puasa. Anak lelakinya telah menolak untuk berbuka, lalu berkata:

"Wahai ibu, hari ini badanku tidak sihat. Aku mengalami demam panas. Mungkin ajalku sudah hampir."

Dia terus naik ke mihrab dan duduk bersimpuh berzikir kepada Allah tiada henti-henti. Dia melakukan ibadah selama empat hari tidak makan dan tidak minum. Ibunya merasa sangat sedih dan menangis melihat telatah anaknya yang aneh itu.

Pada hari berikut, anak lelakinya terus duduk bersimpuh dan bermunajat kepada Allah.

"Wahai Tuhanku, ketika tubuhku masih sihat aku banyak melakukan maksiat dan lalai dari berzikir kepadaMu. Sekarang, ketika tubuhku lemah lesu aku tekun beribadah kepadaMu. Ya Tuhanku, perbuatan ini telah membuatMu murka terhadapku. Oleh itu terimalah taubat hambaMu ini." Kata si anak lelaki di dalam munajatnya.

"Wahai anakku sayang, bangunlah..." Teriak si ibu yang cuba menyedarkan anaknya yang sedang terbaring.

"Wahai ibuku sayang, dahulu, engkau selalu rajin menasihatiku agar kembali kepada jalan yang benar. Ibu telah menakutkan aku dengan neraka dan kemurkaan Allah. Sekarang ibu takutkan aku dengan hidup. Aku telah menyesali perbuatanku yang lalu kerana leka dari mengingati Allah. Sesungguhnya aku merasa sangat takut kerana terlalu lama di dalam buruan neraka. Oleh itu, aku ingin mencium kakimu agar diriku dapat merasa kehinaan. Semoga Allah memberikan curahan rahmatNya." Kata si anak lelaki.

Si ibu bangun untuk memenuhi permintaan anak lelakinya. Dia merasa sangat sedih melihat keadaan anaknya yang sudah lemah tubuhnya kerana melupakan makan dan minum.

"Inilah balasan bagi orang yang berkelakuan buruk dan lalai dari mengingati Allah." Kata si anak lelaki.

Selepas berkata demikian, si anak lelaki menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Beberapa hari kemudian pada malam Jumaat, si ibu telah bermimpikan anak lelakinya. Dia melihat paras rupa anak lelakinya sangat indah seperti bulan purnama. Lalu ia bertanya,

"Wahai anakku, apakah balasan yang diberikan kepadamu?"

"Sesungguhnya Allah memberikan balasan yang baik kepadaku." Jawab anak lelakinya.

(Dipetik dari "Himpunan Cerita-cerita para Ahli Ibadah-Siri 1)

Iklan lagi....!