Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesihatan. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 31, 2010

Puasa bagi warga emas...





Puasa warga emas

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------


RUTIN berpuasa daripada terbit fajar hingga matahari terbenam sepanjang Ramadan dirasakan sangat mencabar oleh sesetengah individu seperti warga emas yang mempunyai keperluan khas.

Bagi individu yang bergantung pada pengambilan ubat-ubatan, mereka berhadapan cabaran untuk memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik terutama bagi pesakit diabetes dan darah tinggi.

Pengalaman Kamariah Zaki, 66, yang bergantung pada ubat darah tinggi sedikit sebanyak memberi gambaran terhadap cabaran yang perlu dilalui pesakit hipertensi ketika berpuasa.

Jelas Kamariah, ada masanya tubuhnya berasa tidak selesa selain perasaan risau diserang tekanan darah tinggi secara tiba-tiba.

“Nak makan ubat, (tetapi) berpuasa. Tak makan ubat, takut sakit datang tiba-tiba,” katanya yang menetap di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi perubatan terkini membolehkan dos ubatan yang perlu diambil pesakit diselaraskan sepanjang waktu berpuasa.

“Tetapi untuk tahun ini, pakar perubatan mengubah dos ubat dan waktu pengambilan. Jadi, saya hanya perlu ambil ubat pada waktu sahur dan semasa selepas berbuka,” ujarnya.


PENYELARASAN dos dan perubahan waktu pengambilan ubat harus dibuat sebulan lebih awal bagi membolehkan tubuh melakukan penyesuaian.

--------------------------------------------------------------------------------


Mengulas dilema yang dihadapi pesakit seperti Kamariah, Pakar Perunding Perubatan dan Geriatrik, Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Rajbans Singh berkata, berpuasa adalah satu mekanisme terbaik sistem tubuh untuk kembali muda.

“Melalui berpuasa, tubuh akan mengeluarkan toksin dan memperbaiki sel, tisu serta organ dengan lebih sistematik, mudah dan selamat,” katanya

Jelas beliau, kebergantungan warga emas terhadap ubatan secara teorinya akan menjadi lebih minimum melalui proses peremajaan tersebut.


Dos

Pencapaian perubatan moden kini membolehkan warga emas meneruskan ibadat puasa dengan lebih mudah, bagaimanapun mereka perlu mengetahui tahap keuzuran diri, kata Rajbans.

Ujarnya lagi, bagi mereka yang bergantung dengan ubat-ubatan seperti pesakit darah tinggi, diabetes dan jantung, penyelarasan dos ubat perlu dilakukan beberapa minggu sebelum berpuasa.

“Ini memberi peluang kepada tubuh untuk menyesuaikan diri dengan perubahan waktu makan ubat serta dos ubatan yang mungkin dinaikkan,” katanya.

Jelas Rajbans, pesakit tidak perlu bimbang mengenai perubahan ubat kerana sekarang kebanyakan ubat hanya untuk dimakan sebanyak dua kali sehari.

Malah, peningkatan dos juga jarang memberi impak terhadap kesihatan warga emas memandangkan perubahan itu adalah kecil.

Di samping itu, amalan minum air yang banyak perlu dilakukan ketika bersahur. Tetapi tegas Rajbans, minuman bergas atau manis harus dielakkan.



TEKNOLOGI terkini bidang farmasi dan perubatan membolehkan dos serta waktu ubat diselaraskan mengikut keperluan tubuh pesakit.

--------------------------------------------------------------------------------



“Jenis minuman ini akan hanya mempercepatkan proses dahaga dan dehidrasi terutama warga emas yang gemar melakukan aktiviti di luar rumah,” tegas Rajbans.

Beliau turut menasihatkan warga emas agar mengurangkan aktiviti yang memerlukan mereka berjemur seperti berkebun.

Selain faktor tersebut, Rajbans mengingatkan bahawa pengambilan jenis dan kuantiti makanan sewaktu berbuka sangat penting.

“Sebaik-baiknya kita makan dengan kadar sederhana. Elakkan makanan berminyak dan manis kerana perut sudah kosong hampir 12 jam.

“Sekiranya berlebihan, ia akan memberi kesan kesihatan untuk berpuasa lagi pada keesokan hari seperti senak perut, sakit ulu hati serta keletihan,” kata Rajbans.

Untuk itu, warga emas perlu menambah buah-buahan dan sayuran dalam pemakanan ketika berbuka.

Elemen itu penting untuk menyimpan tenaga dan sekali gus membuatkan tubuh lebih bertenaga untuk berpuasa.

Menyentuh mengenai ubat-ubatan alternatif, ujar Rajbans, selain penyelarasan dos dan waktu, penggunaan pelekat khas juga boleh membantu.

“Bagi pesakit jantung, mereka boleh menggunakan pelekat khas sebagai ganti ubat secara oral.

“Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kerisauan mereka terhadap serangan jantung,” katanya.

Isnin, Ogos 16, 2010

30 minit senaman di bulan puasa


http://www.infosihat.gov.my/
1.  SENAMAN boleh dilakukan dua atau tiga kali seminggu, sekurang-kurangnya 30 minit sekali senaman. Berbeza dengan hari biasa, senaman dilakukan lebih kerap dan memerlukan 30 minit sehingga satu jam.

2. Dalam tempoh 30 minit, individu boleh melakukan tiga senaman berperingkat dimulakan dengan memanaskan badan, senaman kardiovaskular seperti berbasikal, berjalan kaki atau berjoging dengan menyelaraskan tahap penggunaan tenaga mengikut latihan.

3. Lakukan senaman pada otot besar sahaja. Antaranya, bahagian dada, belakang, bahagian depan paha dan belakang paha. Bagi setiap otot, latihan boleh dijalankan dalam satu atau dua set dan setiap satu set, sebanyak 15 hingga 20 pengulangan. Bilangan yang kerap membolehkan kita mengurangkan lemak dan pada masa sama, membentuk otot.

4. Senaman boleh dilakukan 30 minit atau satu jam sebelum waktu berbuka atau selepas berbuka sebaik proses penghadaman selesai. Bagi mereka yang memilih melakukan senaman selepas berbuka, pastikan makanan benar-benar hadam. Ambil masa sekurang-kurangnya setengah hingga satu jam selepas makan.

5. Elakkan berbuka dengan makanan berat contohnya nasi. Sebaiknya, individu dinasihatkan mengambil makanan dalam jumlah yang sedikit seperti sebiji kurma dan segelas minuman.

6. Senaman kardiovaskular 30 minit baik untuk jantung. Ini boleh diikuti dengan latihan mengangkat bebanan, latih tubi dan regangan. Selain senaman memanaskan badan, individu juga boleh menggunakan kayuhan basikal yang boleh dilakukan selama 10 hingga 15 minit.

Ahad, Ogos 15, 2010

Panduan ibu hamil di bulan Ramadan

ADA di kalangan ibu-ibu hamil yang pasti berasa khuatir untuk berpuasa dalam keadaan bayi di dalam kandungan yang amat memerlukan kadar nutrisi yang diperlukan bagi memastikan perkembangan janin.

Jika anda hamil dan ingin berpuasa, pastikan keadaan kesihatan anda amat stabil kerana ibu-ibu hamil juga sebenarnya dibolehkan untuk berpuasa, tetapi menerusi syarat-syarat tertentu.

Apa pun pastikan kandungan dan kesihatan nutrisi yang dibekalkan ibu menerusi plasenta kepada janin.

Salah satu daripadanya ialah memastikan makanan yang dimakan itu mengandungi nutrisi yang diperlukan termasuk protein, zat pemakanan yang diperlukan ibu dan bayi di dalam kandungan.

Komposisi yang harus dipenuhi ibu-ibu hamil bagi zat pemakanan tersebut ialah karbohidrat 50 peratus, protein (30 peratus) dan lemak sekitar 10 hingga 20 peratus.

Biarpun begitu, ada beberapa faktor yang harus diperhatikan oleh si ibu andainya dia hamil dan ingin meneruskan berpuasa.

Sekiranya si ibu hamil tersebut menghidap penyakit kencing manis atau diabetes, maka ibu tersebut tidak disaran untuk berpuasa.

Sekiranya ibu yang hamil itu menderita penyakit darah tinggi atau hipertensi kerana ibu-ibu ini memerlukan aturan memakan ubat yang berterusan secara teratur dia juga disaran untuk membuka puasanya.

Tekanan darah tinggi juga harus dihindari selama hamil kerana ia boleh menyebabkan kematian mengejut bagi si ibu mahupun bayi dalam kandungan.

Selanjutnya adalah faktor perdarahan. Jika ini berlaku, ibu yang hamil dinasihat tidak berpuasa kerana khuatir kesihatan janin di dalam kandungan.

Dehidrasi atau kekurangan cairan akibat muntah selama hamil akibat mabuk atau morning sickness atau sebagainya juga diminta untuk tidak meneruskan puasa dan minum sebanyak mana air yang diperlukan.

Jika tidak, sebaliknya akan berlaku kerana dehidrasi ini berkemungkinan akan menyebabkan pitam, pening, rasa berpinar dan seram sejuk yang boleh menyebabkan keadaan ibu hamil ini menjadi lebih teruk dan pengsan.

Rabu, Ogos 11, 2010

Kenal penyakit sebelum berpuasa

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com

MENJELANG tengah hari, Siti Farah Dollah tidak dapat menahan diri daripada godaan makanan. Dia segera mencapai dua paket mi segera berperisa tom yam dan berbuka puasa pada hari itu.

Penyakit gastrik yang dialami sejak beberapa bulan lalu menyebabkan Siti Farah tidak dapat menahan diri daripada makan lebih-lebih lagi jika perutnya mula terasa pedih dan berasid.

Fikir anak keenam daripada tujuh beradik itu, sesudah berbuka puasa sakit perut yang dialami akan berhenti, namun sangkaannya silap. Sakit perutnya menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan Siti Farah terbaring dan merengek kesakitan.

"Itulah pengalaman saya semasa mula-mula mengalami sakit gastrik ketika berumur 18 tahun. Waktu itu, saya masih menuntut di Institut Profesional Baitulmal (IPB), Kuala Lumpur. Punca saya mendapat gastrik pun disebabkan cara pemakanan yang tidak teratur semasa belajar di asrama.

"Masa mula-mula kena gastrik, walaupun saya cuba berpuasa penuh pada bulan Ramadan, saya tidak mampu lakukannya. Silap saya juga sebab tidak pergi berjumpa doktor untuk minta nasihat dan pandangan berhubung penyakit ini," katanya yang bersyukur kerana dapat berpuasa penuh pada tahun lepas.

Siti Farah yang telah menjangkau usia 21 tahun kini sudah tahu bagaimana menangani penyakitnya selepas berjumpa dengan doktor.

 

MAJLIS Fiqh Islam Antarabangsa telah menyenaraikan enam prosedur perubatan yang tidak membatalkan puasa seperti menderma darah dan menjalani rawatan gigi.

"Orang yang mengalami sakit gastrik sebenarnya mampu berpuasa penuh. Cuma, mereka perlu makan sahur lewat dan tidak mengambil sebarang minuman bersusu.

"Selain itu, jika berbuka saya akan pastikan tidak berbuka dengan nasi, mengambil minuman berais dan makan makanan yang pedas. Cukup sekadar berbuka dengan air suam, kurma atau kuih-muih. Selepas beberapa jam baru saya akan menjamah nasi pula.

"Saya pernah makan terlalu banyak ketika berbuka. Natijahnya, ketika solat terawih perut saya terasa amat sakit," katanya yang berharap dapat berpuasa penuh pada Ramadan tahun ini.

Minta pandangan doktor

"Kebanyakan pesakit boleh berpuasa penuh melainkan penyakit-penyakit kronik yang sukar untuk dirawat. Misalnya, pesakit kanser terminal yang memerlukan mereka mengambil ubat yang kerap, pesakit diabetes yang memerlukan suntikan dari semasa ke semasa, serangan jantung dan strok.

"Tidak ketinggalan mereka yang mempunyai penyakit akut yang serius seperti infeksi (septisemia), lelah dan dehidrasi yang memerlukan rawatan segera," kata Pakar Perunding dan Gastroenterologi Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur, Dr. Ishak Mas'ud.

Jelas Ishak, sempena bulan Ramadan ini, pesakit yang menghidap penyakit lain seperti gastrik harus berjumpa dengan doktor terutamanya doktor Muslim untuk mendapat pemeriksaan dan pandangan sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak.

"Dengan itu, mereka boleh menukar cara pengambilan ubat atau mengubah diet makanan yang betul bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah puasa.

"Sebagai contoh, jika sebelum ini mereka perlu mengambil ubat tiga atau empat kali dalam sehari, mereka boleh mengambil ubat hanya dua kali sehari. Doktor akan memberi mereka ubat yang sama tetapi mempunyai kesan berpanjangan," katanya.

Dalam isu yang lebih perspektif, Ishak memberitahu, pesakit yang mengalami sakit perut perlu mengenal pasti punca sakit itu terlebih dahulu.


 
PESAKIT gastrik perlu mengelak makanan pedas ketika bersahur atau berbuka puasa.

"Istilah gastrik sebenarnya terlalu umum. Sakit perut boleh berpunca disebabkan ulser peptik, batu karang di dalam hempedu (gallstone) dan pankreatitis yang biasanya disebabkan sindrom usus rengsa (IBS).

"Walaubagaimanapun, ada beberapa gejala lain yang memberi indikasi memungkinkan pesakit gastrik memerlukan rawatan segera.

"Antaranya sakit perut yang berpanjangan, muntah berterusan atau berdarah, najis berwarna hitam yang berkemungkinan najis berdarah, selera makan dan berat badan yang semakin berkurang serta sakit perut yang semakin teruk selepas makan," katanya mengenai rawatan yang memungkinkan pesakit tersebut menjalani beberapa ujian seperti endoskopi atau ujian ultrasound pada bahagian perut.
Wajib ganti puasa

Sementara itu, menurut Pegawai Hal Ehwal Khas Agama sebuah pusat perubatan, Ismat Nazirin Mat Isa, mengikut surah al-Baqarah ayat 183 sehingga 188, terdapat tiga golongan individu yang tidak dibenarkan berpuasa iaitu orang yang sakit, musafir dan wanita yang kedatangan haid.

"Walaupun tiga golongan ini tidak diwajibkan berpuasa tetapi mereka wajib untuk menggantikan puasa. Jika mereka masih tidak mampu untuk menggantikan puasa terutama bagi individu yang menghidap penyakit yang sukar sembuh seperti kanser, mereka perlu menggantikan puasa dengan cara yang lain.

"Mereka perlu menggantikan puasa yang tertinggal dengan membayar fidyah kepada fakir miskin. Sehari puasa yang ditinggalkan bersamaan dengan 700 gram beras yang perlu diberikan.

"Malah, mereka perlu membayar fidyah mengikut jenis beras yang dimakan," katanya mengenai amalan berpuasa yang diperintah Allah sebagai ujian untuk menguji ketakwaan umatnya.

Jelas Ismat, terdapat dua kategori orang berpenyakit iaitu pesakit yang yakin dia boleh berpuasa dan tidak memudaratkan diri, wajib untuk berpuasa.

Golongan kedua pula, pesakit yang tidak dapat menentukan tahap kemudaratan kesihatannya. Jika doktor kata tidak boleh berpuasa, pesakit itu wajib untuk berbuka.


DAPATKAN pandangan pakar perubatan mengenai penyakit anda kerana ia boleh membantu anda menunaikan ibadah puasa dengan lebih baik.


Prosedur perubatan

Dalam pada itu, Ismat memberitahu, banyak persoalan timbul dalam kalangan orang ramai mengenai prosedur-prosedur perubatan sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak.

"Banyak perkara yang telah diputuskan oleh Majlis Perhimpunan Fiqh Islam Antarabangsa dalam persidangan ke-10 di Jeddah Arab Saudi baru-baru ini.

"Ada enam prosedur perubatan yang tidak membatalkan puasa. Pertama, menitiskan ubat ke dalam mata, hidung dan telinga. Dengan syarat ubat tersebut tidak sampai ke tekak.

"Kedua, menderma atau menerima pemindahan darah. Ketiga, mengambil ujian darah. Keempat, menjalani rawatan pergigian seperti mencabut, menampal dan mencuci gigi. Kelima, menjalani rawatan hemodialisis atau dialisis peritoneal (PD) dan terakhir menjalani ujian endoskopi bagi tujuan diagnosis dengan syarat tidak memasukkan apa-apa cecair ke dalam perut," katanya lagi.

Jumaat, Februari 20, 2009

Anda ada masalah mental?


270,000 rakyat Malaysia sakit jiwa



KUALA LUMPUR - Lebih 270,000 rakyat Malaysia menghidapi skizofrenia, sejenis penyakit mental tanpa menyedarinya menurut seorang pakar psikiatri, Prof Dr Mohammad Hussain Habil.

Beliau berkata, kegagalan menyedari hakikat itu adalah kerana mereka tidak dapat mengenal pasti simptom penyakit berkenaan dan terlalu bergantung kepada bomoh, sinseh dan perantara untuk menyembuhkan mereka.

Mohammad, yang juga Ketua Jabatan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC), berkata, kemajuan dalam bidang sains perubatan, skizofernia boleh dipulihkan sepenuhnya jika dikesan dari awal..... (bacaan lanjut di Harian Sinar 20.02.2009)



p/s: wowwww! ramainya pengidap sakit jiwa. Dengar ceritanya, kalangan warga guru yang banyak terlibat dalam kes ni. Alahai.... nasib!


Isnin, November 24, 2008

Eeee... gelinya aku!

Doktor temui cacing di dalam otak
(SINAR HARIAN 22.11.08)
Sekumpulan doktor di Arizona terkejut apabila menemui cacing di dalam otak seorang wanita yang pada mulanya disyaki menghidap barah.
Rosemary Alvarez diberikan rawatan kecemasan sebanyak dua kali selepas mendakwa berasa kebas dan pandangannya kabur.
Namun selepasa melakukan imbasan, doktor mengesahkan dia tidak mengalami sebarang masalah.
Bagaimanapun, selepas doktor melihat dengan lebih dekat hasil imbasan tersebut, mereka mendapati terdapat sesuatu objek asing di dalam otaknya iaitu cacing.
"Selepas kami melihat hasilnya dengan lebih dekat, kami dapati ia bukanlah sesuatu yang baik," kata pakar saraf, Dr Peter Nakaji.
Doktor mendakwa cacing-cacing yang menebusi otaknya itu mungkin datang daripada hidangan babi yang tidak cukup masak atau ia disebarkan oleh seseorang yang tidak mencuci tangan selepas menggunakan tandas!

p/s: Moral kisah ini, satu lagi bukti ngape babi tu tak halal, dan cucilah tangan sebersih2 nye selepas menggunakan tandas, ngerti kamu!

Iklan lagi....!