Guru hari ini perlu bersemangat tinggi dan berani. Penguasaan akademiknya mestilah mantap. Dia perlu sentiasa memperbaiki kebolehan profesionalnya menerusi pembacaan dan pembelajaran. Guru hendaklah bersifat kreatif kerana tanpa kreativiti ia seumpama masakan yang tidak bergaram. Apa yang diajarnya tawar. Lama kelamaan ia membunuh minat anak didiknya dan apabila perkara seperti itu berlaku, maka tidak wujud lagi aktiviti pembelajaran. Guru juga mesti menghayati kehidupan anak buahnya. Dengan ini saya bermaksud, dia perlu mengerti pengalaman mereka, kesedihan, keseronokan dan kegembiraan mereka. Hanya menerusi cara ini seseorang guru itu dihormati oleh pelajarnya; kerana mereka tahu guru mereka mengambil berat tentang diri mereka serta memahami perasaan mereka. Sebagai seorang pemimpin, guru perlu mempamerkan sahsiah yang baik. Dia hanya boleh mengajar menerusi contoh teladan, berdisiplin, ikhlas dan kerja kuat.
(Penulis Tidak Diketahui)