Ahad, September 21, 2008

RAMADHAN BULAN LAILATUL QADAR

LAILATUL QADAR?

(Buat tatapan putera-puteriku, 'Aqilah,Luqman,Amirah dan Adam serta anda yang budiman)

Di antara malam-malam Ramadhan, terdapat suatu malam yang dikenali sebagai "Lailatul Qadar" iaitu suatu malam yang terkenal kerana mempunyai keberkatan yang besar. Di dalam Al Quran ia dinyatakan sebagai mempunyai keberkatan dan kelebihan rohaniah yang lebih besar daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa ia lebih bernilai daripada lapan puluh tiga tahun empat bulan.



Bertuahlah seseorang yang dapat memperolehi keberkatan yang sepenuhnya daripada malam ini dengan beribadah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya anugerah malam ini kepada orang-orang Islam yang taat adalah merupakan kurniaan yang amat besar sekali.



Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qadr, ayat 1 - 5 bermaksud: "Sesungguhnya kami telah turunkannya di malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah Malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."



Dari Ibnu A'bbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: "Carilah malam Lailatul Qadar di dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan; pada malam yang kedua puluh satu, dua puluh tiga dan dua puluh lima." (Al-Bukhary dan Muslim)



Kelebihan Malam Lailatul Qadar



Diberi ganjaran diampunkan segala dosa yang lepas sekiranya beribadah pada malam Lailatul Qadar dengan berdiri di hadapan Allah (solat, zikir dan tilawah) berserta iman dan ihtisab (keyakinan yang sempurna merendah diri dan harapan yang ikhlas).

Jibril turun ke bumi dan mengarahkan para Malaikat menziarahi setiap tempat tinggal walau di mana jua berada yang terdapat orang yang beriman untuk berjabat tangan dengan mereka. Bagi hamba Allah yang beribadah dan berdoa pada malam itu, nescaya akan dimakbulkan doa-doanya.

Malam Lailatul Qadar berada dalam malam-malam yang ganjil antara sepuluh malam yang terakhir itu, maka carilah ia pada malam-malam 21, 23, 25, 27, dan 29. Tidaklah sukar menghabiskan masa sebanyak sepuluh atau sebelas malam beribadah jika dibandingkan dengan ganjaran yang terlalu besar yang bakal diterima.
Insya Allah.

Tiada ulasan:

Iklan lagi....!