Ahad, September 28, 2008

SALAM LEBARAN buat anda yang budiman!

Create your own banner at mybannermaker.com!
Dedikasi Aidilfitri...
"Godok kupat neng ngisor poro, digodok karo anak seng barep, salah silap-ku njaluk ngapuro, dowo umure, murah rejekine, SLMT riyoyo...
"Lampu raya lip lap lip lap, Halaman pula penuh pelita, Andai ada salah dan silap, Mohon ampun maaf dipinta"
"Lisan kadang-kadang tak terjaga, Janji kadang-kadang terabai, Hati kadang-kadang berprasangka, Sikap kadang-kadang menyakitkan. Hidup ini menjadi indah selagi rasa kasih dan bermaafan wujud dalam diri kita"
"Jika kesilapan semalam belum terampun, maafkanlah, Jika kesilapan hari ini menyakitkan, harap lupakanlah, Jika kesilapan esok mendatang, Janganlah dibawa ke akhirat..."
"Dalam kesusahan ada hikmahnya, Dalam kesabaran ada nikmatnya..."
"Setitik embun di pohon rimbun, Di atap nipah air tergenang, Dosa tertimbun mohon diampun, Silap & salah jangan dikenang"
"Indah langit kerana awan.... Indah lautan kerana kebiruan... Indah Ramadhan kerana keinsafan....Indah Aidilfitri kerana kemaafan..."

MAJLIS KHATAM AL-QURAN 1429H/2008M

Bertempat di Dewan Terbuka SK. Taman Bunga Raya (1), pada hari Jumaat 26hb. September bersamaan 26 Ramadhan 1429 satu lagi program 'memeriahkan Ramadhan' telah diadakan iaitu "Majlis Khatam al-Quran" peringkat sekolah.

Majlis Khatam al-Quran adalah salah satu daripada aktiviti tahunan Panitia Pendidikan Agama Islam yang dijalankan setiap tahun yang bercorak pendidikan. Majlis ini diadakan adalah kesinambungan daripada majlis tadarus al-Quran sempena Ramadhan al-Mubarak.

Antara objektif program ini ialah untuk melahirkan warga sekolah yang celik al-Quran dan isi kandungannya. Di samping itu, ianya diharapkan dapat memberi penghargaan kepada murid yang telah khatam al-Quran dan motivasi kepada murid lain. Dan, apa yang penting program sebegini insya Allah akan mampu menyemai rasa cinta kepada kitab suci al-Quran al-Karim.

Aturcara majlis yang telah disusun adalah seperti berikut:-
7.40 pagi - Perhimpunan
- Ucapan alu-aluan Pengerusi Majlis
- Bacaan Doa (Ustaz Omar Zainuddin)
- Bacaan al-Quran & terjemahannya
- Nasyid "Asma al-Husna"
- Perarakan masuk peserta khatam al-Quran
- Ucapan Pengerusi Program - Pn. Mahani bt. Hanafi
- Ucapan Perasmian oleh Puan Zalinah bt. Zubir,
Guru Besar, SK. Taman Bunga Raya (1)
- Upacara khatam al-Quran
- Persembahan nasyid
- Penyampaian hadiah
# Kuiz ihya' Ramadhan
# Peserta Tadarus al-Quran
# Peserta khatam al-Quran
- Sumbangan kepada anak-anak yatim

11.45 pagi - Agihan bubur lambuk

12.00 tengahari - Bersurai

Mari kita hayati bacaan al-Quran.
Layarilah : http://www.quranexplorer.com/

Khamis, September 25, 2008

HIDUP SUATU UJIAN

Hidup ini merupakan suatu ujian. Allah s.w.t akan menguji hamba-hambaNya dengan pelbagai bentuk dan keadaan. Sama ada ujian berbentuk kesusahan dan kesenangan dengan tujuan untuk mengangkat darjat kemuliaan hambaNya.

Realiti dalam kehidupan kita sendiri pun manusia tidak akan dapat dinilai tahap pencapaiannya sekiranya tidak melalui ujian dan saringan. Guru tidak akan dapat mengetahui tahap kefahaman pelajar sekiranya tidak diberikan ujian dan peperiksaan.

Seorang majikan tidak akan dapat menilai tahap pencapaian pekerjanya sekiranya tidak diberikan ujian prestasi kepada mereka. Begitu juga untuk kita sebagai hamba Allah s.w.t perlu melalui ujian dan penilaian untuk dianggap lulus sebagai hamba Allah s.w.t yang muttaqin.

Sebenarnya, sebelum Allah s.w.t ingin mengurniakan nikmat kepada hambaNya, terlebih dahulu Allah s.w.t akan menguji hambaNya yang terpilih itu.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:"Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Tuhan, maka ia pasti diberi ujian."

Ujian yang dimaksudkan di sini termasuklah dugaan, sakit, cubaan hidup, kepayahan dan kegagalan. Allah s.w.t akan mengurniakan pahala apabila seseorang itu bersabar dan mengharapkan redhaNya.


Sakit Adalah Penghapus Dosa

Kita adalah manusia yang memiliki 1,001 kelemahan dan sering melakukan dosa. Sudah pasti kita akan dibalas dengan pembalasan yang dahsyat di akhirat sekiranya kita tidak memohon
ampun kepada Allah s.w.t di dunia.

Fikirkanlah! Kalau kita membilang segala dosa-dosa yang kita lakukan, sudah pasti tidak terhitung banyaknya. Dosa-dosa yang banyak itu kalau tidak diampunkan Allah s.w.t, adakah lagi harapan kita untuk menikmati syurga yang disediakan untuk manusia yang beriman dan beramal soleh? Oleh itu, kita kena sentiasa dan setiap masa bertaubat kepada Allah s.w.t supaya segala dosa kita dihapuskan.

Penghapusan dosa oleh Allah s.w.t melalui pelbagai bentuk termasuk ditimpakan ujian dalam kehidupan.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, (maksud):"Seorang mukmin tidak ditimpa penyakit yang berterusan, sama ada keletihan, kesakitan dan kesedihan sehingga boleh menggelisahkannya kecuali bagi menghapuskan segala dosa-dosanya."


Sakit Adalah Tanda Cinta

Semua orang tidak mahu ditimpa sakit dan keuzuran. Manusia sanggup mengeluarkan kos perbelanjaan yang tinggi semata-mata untuk memastikan diri dan keluarga mereka sentiasa sihat. Bagi sesetengah manusia menganggap sakit adalah suatu yang amat buruk dan bencana dalam kehidupan.

Islam sendiri menganjurkan supaya kita berusaha dan berikhtiar untuk menyembuhkan penyakit yang dialami dengan pelbagai rawatan dan perubatan asalkan tidak sampai melanggar batas akidah dan syariat.

Dalam masa yang sama, sebenarnya apabila seseorang ditimpa kesusahan berupa kesakitan, kegelisahan dan sebagainya, itu merupakan ujian dari Allah s.w.t untuk menilai setakat manakah hambaNya sabar menghadapinya.

Suatu hari seorang datang kepada Rasulullah s.a.w dan mengadu: Ya Rasulullah, telah habis hartaku namun masih sakit tubuhku. Maka Nabi bersabda (maksud);"Sesungguhnya Allah s.w.t jika cinta dan sayang kepada hambaNya, diujinya dengan bala dan bila telah ditimpa bala maka Allah s.w.t memberinya kesabaran."

Oleh itu, berbahagialah kepada sesiapa yang terpilih. Sesungguhnya Allah s.w.t amat cinta dan sayang kepada kamu. Terimalah ujian Allah s.w.t ini dengan sabar dan redha. Yakinlah! Allah s.w.t sedang mengangkat darjatmu.

Mohd Faryzan Subkhi
-Dipetik dari "Asnaf" terbitan 2/2008


Ada masa, layarilah http://www.e-zakat.com.my/

Rabu, September 24, 2008

SEPULUH MALAM TERAKHIR


Ramadhan... Pemergianmu ditangisi!

Semarakkan ibadah pada malam-malam sepuluh terakhir ini dengan...

^ menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, seperti solat sunat empat rakaat, banyakkan berdoa, berzikir dan bertasbih dsb.

^ mengejutkan ahli keluarga untuk sama-sama beribadah menghidupkan malam-malam tersebut.

^ mengetatkan ikatan ( tidak tidur bersama isteri). Diriwayatkan daripada A'isyah r.a yang bermaksud: "Adalah Rasulullah s.a.w apabila tiba sepuluh terakhir (Ramadhan) baginda akan menghidupkan malamnya dan mengejutkan isterinya serta mengetatkan ikatan tali pinggangnya (tidak bersama isteri)."- Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

^ Mandi antara Maghrib dan Isyak serta menghiaskan diri dengan pakaian yang indah dan wangi-wangian, terutama pada malam-malam yang ganjil.

^ Berusaha bersungguh-sungguh agar dikurniakan Lailatul Qadar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

^Melakukan iktikaf* di masjid pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya: "Biasanya Nabi s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan."

^Membayar zakat fitrah, zakat harta dan zakat pendapatan.

^ Memperbanyakkan sedekah.


*Iktikaf - Ertinya 'memisahkan diri ke dalam masjid dengan niat iktikaf'. Iktikaf wajib sekiranya seseorang itu bernazar. Manakala iktikaf sunat seperti amalan Rasulullah s.a.w yang biasa iaitu selama 10 hari terakhir Ramadhan. Dan satu lagi, iktikaf nafil yang tidak ditetapkan masa yang khusus ataupun hari tertentu.
- Amalan yang disarankan semasa beriktikaf adalah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran di samping ibadah-ibadah fardhu dan sunat yang lain.
- Tempat-tempat terbaik untuk beriktikaf ialah:
* Masjidil Haram di Mekah
* Masjid Nabawi di Madinah
* Baitul Maqdis
* Masjid Jamek di bandar sendiri
* Masjid yang paling hampir dengan rumah


-t.kasih INFO ANNUR SKBS2005

Selasa, September 23, 2008

PROGRAM SALAM 2008 SKTBR (1)

"Assalamualaikum, Salam Sejahtera, ............."
Hadiah untuk mereka yang memenangi pertandingan...

Baik-baik pegang, nanti jatuh tak de ganti tau...

Yang mana satu puteri sulung Ustazah Ruzaiton....


"Tebarkanlah salam... antara kita..."

Barisan penasyid dan pemuzik yang mantappppp..........!!!

Bukan kena tahan takde visa, tapi beratur nak ambil hadiah

"Saya harap kamu tak berat mulut nak ucap salam tau!

Senyummmmm, 1,2,3... kenangan ni simpan baik-baik.

Hah mana lagi? cepat sikit! Kita dah nak balik dah ni..

Ni sape sape yang tak nak hadiah ni, cikgu ambik kang!

Murid-murid sesi petang 2008 SK. Tmn. Bunga Raya (1)

Ni pulak sebahagian cikgi-cikgi sesi petang yang dedikasi

Haah, hahh..... koyak kertas tu, saya pulas telinga cikgu!




Sekadar itu, wajah-wajah yang sempat dirakamkan di Majlis Penyampaian Hadiah Program Salam yang telah diadakan pada 21hb. April 2008 di sesi petang yang mana telah disempurnakan majlisnya oleh Pn. Zaleha bt. Ahmad, Penyelia Petang SKTBR1.

Isnin, September 22, 2008

Tanda-tanda...

(Sambungan semalam...)


Tanda-tanda Lailatul Qadar

# Terbit matahari pada pagi esok harinya dalam keadaan putih bersih, bagaikan bulan purnama, sinarannya lembut dan tidak terik.

# Pohon-pohon kelihatan rebah ke bumi, kemudian bangun semula kepada asal.

# Malam sunyi sepi penuh ketenangan serta bercahaya. Udara nyaman, tidak panas dan tidak terlalu sejuk.

# Tidak terasa kepanasan pada siang harinya, walaupun matahari sangat cerah dan terang benderang.

# Panah-panah api tidak kelihatan memanah syaitan.

#Pada hari itu Allah mengharamkan syaitan naik bersama-sama matahari.


Sirah Lailatul Qadar

Rasulullah s.a.w pernah memikirkan tentang umur umat terdahulu yang panjang usianya berbanding dengan umur umatnya yang pendek. Maka Baginda sangat berdukacita kerana jika umat ini ingin berlumba beramal soleh dengan umat terdahulu mustahil mereka dapat bersaing atau mengatasinya kerana umurnya yang pendek. Maka dengan rahmat Allah s.w.t dikurniakanlah malam yang dipenuhi keberkatan ini. Ini bermakna umat nabi Muhammad s.a.w bertuah dapat menghabiskan masa sebanyak sepuluh malam yang akhir ini dengan beroleh pahala seolah-olah beribadah selama 1000 seribu bulan.

Adapun hikmah disembunyikan Lailatul Qadar ini adalah supaya kita berusaha untuk mendapatkannya, berusaha meningkatkan ibadah pada malam-malam sepuluh terakhir dan memperbanyakkan doa untuk memperolehinya.

Ahad, September 21, 2008

RAMADHAN BULAN LAILATUL QADAR

LAILATUL QADAR?

(Buat tatapan putera-puteriku, 'Aqilah,Luqman,Amirah dan Adam serta anda yang budiman)

Di antara malam-malam Ramadhan, terdapat suatu malam yang dikenali sebagai "Lailatul Qadar" iaitu suatu malam yang terkenal kerana mempunyai keberkatan yang besar. Di dalam Al Quran ia dinyatakan sebagai mempunyai keberkatan dan kelebihan rohaniah yang lebih besar daripada seribu bulan yang membawa maksud bahawa ia lebih bernilai daripada lapan puluh tiga tahun empat bulan.



Bertuahlah seseorang yang dapat memperolehi keberkatan yang sepenuhnya daripada malam ini dengan beribadah kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya anugerah malam ini kepada orang-orang Islam yang taat adalah merupakan kurniaan yang amat besar sekali.



Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qadr, ayat 1 - 5 bermaksud: "Sesungguhnya kami telah turunkannya di malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah Malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."



Dari Ibnu A'bbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda mafhumnya: "Carilah malam Lailatul Qadar di dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan; pada malam yang kedua puluh satu, dua puluh tiga dan dua puluh lima." (Al-Bukhary dan Muslim)



Kelebihan Malam Lailatul Qadar



Diberi ganjaran diampunkan segala dosa yang lepas sekiranya beribadah pada malam Lailatul Qadar dengan berdiri di hadapan Allah (solat, zikir dan tilawah) berserta iman dan ihtisab (keyakinan yang sempurna merendah diri dan harapan yang ikhlas).

Jibril turun ke bumi dan mengarahkan para Malaikat menziarahi setiap tempat tinggal walau di mana jua berada yang terdapat orang yang beriman untuk berjabat tangan dengan mereka. Bagi hamba Allah yang beribadah dan berdoa pada malam itu, nescaya akan dimakbulkan doa-doanya.

Malam Lailatul Qadar berada dalam malam-malam yang ganjil antara sepuluh malam yang terakhir itu, maka carilah ia pada malam-malam 21, 23, 25, 27, dan 29. Tidaklah sukar menghabiskan masa sebanyak sepuluh atau sebelas malam beribadah jika dibandingkan dengan ganjaran yang terlalu besar yang bakal diterima.
Insya Allah.

Sabtu, September 20, 2008

MALAM AL QADAR


Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr .

Firman Allah SWT :
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr : 2) .
Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain. Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :-
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktunya

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.



Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerna beliau telah melihat tandanya dan zaman lain umumnya), sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )


Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar

Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )

Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"
Mestikah Mendapat Tanda ?
Sabda Nabi SAW :
من يقم ليلة القدر فيوافقها..
Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya. .." ( Riwayat Muslim)
Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.

Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :
waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li Ahkam al-Quran, 20/134 )

Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
1) Berzikir
2) Berdoa
3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf.. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.
sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://zaharuddin.net/

ASSOLAH MEMBENTUK SAHSIAH UMMAH

Ni dia..... orang kuat j-QAF, Ustaz Omar namanye...!

Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) hari ini menganjurkan "Kem Bestari Solat" Siri ke-4 bagi tahun 2008 bermula jam 7.30 pagi yang bertemakan "Assolah Membentuk Sahsiah Ummah".

Berikut adalah aturcara program pada kali ini:-

7.30 : Pendaftaran peserta

8.30 : Peserta mengambil tempat dan pembahagian kumpulan

9.00 : LDK (1) (Tayangan Video-Wudhuk)

(Teori dan Amali wudhuk - Lampiran 1 - 7)

10.15 : Rehat

10.30 : LDK (2) (Tayangan Video-Bacaan Dalam Solat)

(Amali Bacaan Dalam Solat)

12.00 : Rehat

12.15 : LDK (3) (Tayangan Video-Perlakuan Dalam Solat)

(Amali Perlakuan Dalam Solat)

1.00 : Rehat

1.30 : Amali Solat

(Solat Zuhur berjemaah)

2.00 : Bersurai


Sekian, diberitakan untuk program hari Sabtu minggu ini.

Jumaat, September 19, 2008

KEINSAFAN SEORANG ANAK YANG NAKAL

(Dedikasi untuk anak-anak warga SKTBR 1 - sebuah teladan buat kalian)

DICERITAKAN dari Salih bin Amir, di Madinah ada seorang ibu yang mempunyai seorang anak lelaki. Anaknya sangat nakal dan suka keluar waktu malam sehingga waktu pagi. Pekerjaannya hanyalah berkumpul dan sembang kosong di kaki lima bersama-sama kawan-kawannya. Puas si ibu menasihati tetapi kedegilan anaknya lebih mengatasinya.

Pada suatu masa di malam bulan Ramadhan, masjid Rasulullah telah mengundang seorang pendakwah dari Hijaz. Anak lelaki yang nakal itu turut menghadiri majlis tersebut dan mendengar ceramahnya. Pendakwah dari Hijaz itu sangat bijak menyampaikan ceramahnya sehingga ucapannya menyentuh hati nurani setiap orang yang mendengarnya. Anak lelaki nakal itu juga turut terketuk hatinya sehingga dia merasa sedih dan insaf. Dia segera berlari pulang dan memeluk ibunya sambil menangis. Semenjak itu dia mula rajin menunaikan solat dan berzikir sepanjang hari.

Pada suatu senja ketika hari mula beransur gelap, si ibu menemui anaknya dengan membawa hidangan makanan untuk berbuka puasa. Anak lelakinya telah menolak untuk berbuka, lalu berkata:

"Wahai ibu, hari ini badanku tidak sihat. Aku mengalami demam panas. Mungkin ajalku sudah hampir."

Dia terus naik ke mihrab dan duduk bersimpuh berzikir kepada Allah tiada henti-henti. Dia melakukan ibadah selama empat hari tidak makan dan tidak minum. Ibunya merasa sangat sedih dan menangis melihat telatah anaknya yang aneh itu.

Pada hari berikut, anak lelakinya terus duduk bersimpuh dan bermunajat kepada Allah.

"Wahai Tuhanku, ketika tubuhku masih sihat aku banyak melakukan maksiat dan lalai dari berzikir kepadaMu. Sekarang, ketika tubuhku lemah lesu aku tekun beribadah kepadaMu. Ya Tuhanku, perbuatan ini telah membuatMu murka terhadapku. Oleh itu terimalah taubat hambaMu ini." Kata si anak lelaki di dalam munajatnya.

"Wahai anakku sayang, bangunlah..." Teriak si ibu yang cuba menyedarkan anaknya yang sedang terbaring.

"Wahai ibuku sayang, dahulu, engkau selalu rajin menasihatiku agar kembali kepada jalan yang benar. Ibu telah menakutkan aku dengan neraka dan kemurkaan Allah. Sekarang ibu takutkan aku dengan hidup. Aku telah menyesali perbuatanku yang lalu kerana leka dari mengingati Allah. Sesungguhnya aku merasa sangat takut kerana terlalu lama di dalam buruan neraka. Oleh itu, aku ingin mencium kakimu agar diriku dapat merasa kehinaan. Semoga Allah memberikan curahan rahmatNya." Kata si anak lelaki.

Si ibu bangun untuk memenuhi permintaan anak lelakinya. Dia merasa sangat sedih melihat keadaan anaknya yang sudah lemah tubuhnya kerana melupakan makan dan minum.

"Inilah balasan bagi orang yang berkelakuan buruk dan lalai dari mengingati Allah." Kata si anak lelaki.

Selepas berkata demikian, si anak lelaki menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Beberapa hari kemudian pada malam Jumaat, si ibu telah bermimpikan anak lelakinya. Dia melihat paras rupa anak lelakinya sangat indah seperti bulan purnama. Lalu ia bertanya,

"Wahai anakku, apakah balasan yang diberikan kepadamu?"

"Sesungguhnya Allah memberikan balasan yang baik kepadaku." Jawab anak lelakinya.

(Dipetik dari "Himpunan Cerita-cerita para Ahli Ibadah-Siri 1)

Khamis, September 18, 2008

NASIHAT LUKMAN AL-HAKIM


Di antara kata-kata nasihat Lukman al-Hakim kepada anaknya....
Kata Lukman al-Hakim: "Wahai anakku! Sepanjang hidupku, aku hanya memilih lapan kalimah dari pusaka nabi-nabi yang lalu, sabda mereka...
1. Apabila engkau mengerjakan sembahyang, beribadah kepada Allah s.w.t maka jagalah baik-baik fikiranmu.
2. Apabila engkau berada di rumah orang lain, hendaklah kamu menjaga matamu (pandangan matamu).
3. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis, hendaklah kamu menjaga lidahmu (perkataanmu).
4. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan, hendaklah kamu menjaga perangaimu.
5. Ingatlah kepada Allah s.w.t.
6. Ingatlah akan mati.
7. Lupakanlah budi baikmu terhadap orang lain.
8. Lupakan semua kesalahan orang terhadap dirimu.
Dipetik dari "Himpunan Kisah-kisah Teladan" - 93 Kisah-kisah Benar.

Selasa, September 16, 2008

Begini Ceritanya, 16 September...

Dalam kemaruk 16hb. September ini, apa kata kita ke terowong masa menyoroti liku-liku peristiwa dan rakaman kejadian yang telah memungkinkan sebab dan akibat kemudiannya...

KRONOLOGI GAGASAN MALAYSIA

1955
-Ketua Menteri Singapura, David Marshall telah mengemukakan idea awal mengenai
percantuman antara Singapura dan Tanah Melayu, tetapi ditolak oleh Kerajaan Persekutuan.
1959
-Parti Perikatan dapat mengawal keadaan di Malaya, sedangkan di Singapura anasir kiri dapat memperkuatkan keadaan.
-Apabila kerajaan PAP berkuasa, Perdana Menteri Lee Kuan Yew telah menjalankan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengadakan percantuman bagi kedua-dua tujuan ekonomi dan politik.
1961 (Mei)
-Tunku Abdul Rahman mengubah pendirian mengenai percantuman kerana takut Singapura menjadi sebuah negara Komunis selepas merdeka.
(Mei,27)
-Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman dalam pidatonya di hadapan wartawan-wartawan luar negeri yang diadakan di Adelphi Hotel, Singapura, secara terbuka membentangkan kemungkinan Malaya bekerjasama rapat dengan Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.
1961(Julai)
-Satu persidangan serantau telah dilangsungkan di Singapura di antara wakil-wakil dari Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.
1961(Ogos)
-Tunku dan Lee Kuan Yew mencapai satu persetujuan yang luas mengenai prinsip percantuman tersebut.
1961(November)
-Tunku berangkat ke London untuk membincang mengenai pembentukan Malaysia dengan kerajaan British yang sememangnya bersetuju dengan idea tersebut.
1962
-Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia (Malaysia Solidarity Consultative Comittee)
1962(Februari-April)
-Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England memimpin satu Suruhanjaya Penyiasatan (Suruhanjaya Cobbold) yang terdiri daripada lima orang untuk mengetahui pandangan rakyat Borneo Utara dan Sarawak terhadap rancangan Persekutuan Malaysia.
1962(Ogos,1)
-Laporan Suruhanjaya Cobbold menyatakan 70 peratus daripada rakyat Borneo (kecuali Brunei) bersetuju dengan pembentukan Malaysia, dengan syarat mereka dibenarkan mengawal dasar-dasar bahasa dan imigresen sendiri dan mempunyai ketua-ketua negeri mereka sendiri.
-Kerajaan British dan Malaya memutuskan Persekutuan Malaysia yang dirancangkan itu mesti diwujudkan pada 31.08.1963.
1963(Februari,3)
-Memorandum Bersama antara kerajaan Singapura dengan Tanah Melayu ditandatangani oleh Lee Kuan Yew dan wakil Persekutuan Tanah Melayu, Encik Mohd. Khir Johari.
(Februari,27)
-Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Government Comittee) yang terdiri dari wakil-wakil Britain, Malaya, Borneo Utara dan Sarawak yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tanah Jajahan British, Lord Lansdowne, menyiarkan laporan dan membuat usul secara lengkap supaya suatu bentuk pengaturan dalam perlembagaan untuk Sarawak dan Sabah dibuat.
1963(Jun - Julai)
-Pilihanraya untuk Dewan Negeri Sabah diadakan sebagai persediaan negeri itu untuk bergabung dalam Malaysia.
1963(Julai,9)
-Perjanjian London dimeterai sebagai langkah muktamad ke arah pembentukan Malaysia. Walau bagaimanapun ia ditentang oleh Filipina yang mengemukakan tuntutan ke atas Sabah. Manakala permusuhan Indonesia berpunca daripada faktor ideologi, ekonomi dan politik.
1963(Ogos)
-Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri telah dibentuk untuk mengkaji hak-hak yang diberikan kepada Sarawak dan Sabah dalam Malaysia.
-Pilihanraya yang berdasarkan tiga peringkat telah diadakan di Sarawak.
1963(Ogos,31)
-Borneo Utara telah mencapai taraf kerajaan sendiri dan dikenal dengan nama asal iaitu 'Sabah'.
Presiden Sukarno membuat bantahan terhadap Malaysia dan memulakan kempen penentangan.
1963(September,16)
-Hari Malaysia dimasyhurkan.
-Perlantikan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun sebagai Yang Dipertua Sabah yang pertama dan Datuk Donald Stephens sebagai Ketua Menteri Sabah.
-Kempen 'Ganyang Malaysia' oleh Indonesia bermula.
1965
-Hubungan antara kerajaan Pusat dan Singapura menjadi keruh.
1965(Ogos,7)
-Singapura berpisah dari Malaysia ekoran maslah-masalah kewangan dan PAP yang cuba menjadi parti pembangkang.
1966(Januari)
-Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia mulai kendur, disebabkan pemimpin-pemimpin Indonesia terlibat dalam pembentukan pemerintahan baru.
2008(September,16)
-Alhamdulillah, kita masih bisa membuka jendela dan menghirup udara segar pagi yang nyaman dan melaksanakan ibadah puasa Ramadhan 1429 untuk hari yang ke-16 ini, Amin.....
Sejarah tidak pernah berbohong. Ia terakam dalam detik masa yang terus berlalu....
Wassalam. Mohon jika ada pembetulan dan pembaikan. Tq.

Isnin, September 15, 2008

...bersama kita renungkan...


Bertaring tidak mengerkah,
Berkuku tidak mencakar,
Berkuasa tidak memaksa,
Berpengetahuan tidak membodohkan,
Berpangkat tidak menghembat,
Berani tidak melesi,
Berakal tidak menjual,
Berharta tidak aniaya,
Tinggi tidak menimpa,
Besar tidak melendan,
Bertaji tidak memupur.

...semoga kita diberkati...

p/s; Ini bukanlah cetusan idea hamba, sungguh...
ntah, cendekiawan manalah yang tampal kalimat-kalimat di atas
di sebuah bilik, di sebuah sekolah, di sebuah taman... bunga raya!

Sabtu, September 13, 2008

RAHSIA PUASA


Puasalah..... jangan tak puasa!

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Puasa itu separuh dari kesabaran".
Dan, firman Allah s.w.t dalam surah az-Zumar ayat 10 yang bermaksud:
"Hanya sanya orang yang bersabar itu dipenuhi pahala tanpa perhitungan".

Sehari tinggal puasa dengan sengaja di bulan Ramadhan ini, tak kan terganti kita walau seratus
tahun hayat kita berpuasa.... renung-renung, insaflah diri.
Peringatan ini, buat diri kita yang mudah lupa...!

Jumaat, September 12, 2008

Sekilas Ramadhan...


Wahai anak-anak, kalau kalian tahu rahsia dan kelebihan puasa itu, nescaya tak kan kalian persiakan ia walau sehari.
Ketahuilah, bahawa puasa merupakan satu ibadah yang unik kerana ia merupakan rahsia di antara Allah s.w.t dan pelakunya sendiri.
Sabda Rasulullah s.a.w dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keyakinan dan pengharapan, akan diampuni segala dosa-dosanya yang terdahulu".
Jika anak-anak rajin melayari internet, layarilah http://www.islam.gov.my/, lagi banyak cerita tentang puasa ni. Sekian dulu, wassalam...

Sabtu, September 06, 2008

Santapan Jiwa...




Terkedu aku pada sapaan memori lalu

Mula menerjah di ruang fikiranku

Bayangan dosa silam mengusik hati

Tanpa sempatku bendungi lagi

Kusering tertanya adakah derita tiada hujungnya

Apakah airmata tiada ertinya

Mengapa harus aku terleka dan jua alpa

Bahwa dunia sementara cuma ...


Sekian lama aku meniti bara-bara dunia

Mencari segenggam rahmat sinaran iman

Di celah tadahan doa jua amalan diri

Agar hidup matiku hanyalah untukMu
Terima kasih tuhan Yang Maha Pengasih

Di atas rahmatMu yang Kau limpahkan

Bagaimana harus aku untuk membalasnya

Tanda cintaku kepadaMu
Kau kekasih hati.....

Jumaat, September 05, 2008

PROGRAM SOLAT HAJAT & MAJLIS RESTU ILMU

Program Solat Hajat dan Majlis Restu Ilmu ini merupakan langkah dan persediaan terakhir calon-calon UPSR untuk menghadapi peperiksaan sebenar. Kedua-dua program ini diadakan untuk menyediakan calon-calon UPSR dari segi fizikal dan mental sebelum menduduki peperiksaan sebenar.

Solat hajat dan restu ibu bapa serta guru mampu menjadi kekuatan kepada murid untuk menghadapi peperiksaan di samping sokongan berterusan dari pihak sekolah.

Antara objektif program ini adalah;
a. Memohon keberkatan untuk calon-calon UPSR dalam menghadapi masalah.
b. Menimbulkan kesedaran dan keinsafan diri tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pelajar.
c. Memberi motivasi dan dorongan serta semangat kepada calon-calon UPSR.
d. Membina kematangan berfikir, bersyukur dan berterima kasih kepada yang telah memberi ilmu.
e. Membina hubungan erat antara murid, guru dan ibu bapa seterusnya memberi kelapangan dada kepada murid dalam menghadapi UPSR.

Sesungguhnya program ini bermatlamat agar murid dapat menyediakan diri dari segi fizikal dan mental menerusi dorongan dan galakan daripada ibu bapa dan guru. Semua murid Tahun 6 SK. Taman Bunga Raya (1) yang beragama Islam disasarkan untuk menyertai solat hajat dan semua murid Tahun 6 termasuk pelajar bukan Islam akan menyertai Majlis Restu Ilmu.

Program Solat Hajat telah diadakan pada 28.08.08 yang lalu di Masjid Ali Bashah Apartment Kenanga manakala Majlis Restu Ilmu diadakan pada 05.09.2008 di SKTBR (1). Wassalam

Khamis, September 04, 2008

RINTIHAN ROH

Diriwayatkan: “Jika roh telah keluar dari tubuh manusia dan telah lewat tiga hari, maka roh itu berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku sehingga aku berjalan dan melihat tubuhku yang dahulu aku berada di dalamnya.” Maka Allah memperkenankan kepadanya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat kepadanya dari jauh. Kedua lubang hidungnya dan mulutnya mengalir darah. Maka ia menangis dengan suatu tangisan yang cukup lama. Lalu ia merintih, aduuuh hai tubuhku yang miskin, wahai kekasihku. Ingatlah akan hari kehidupanmu. Rumah ini adalah rumah serigala, bala bencana, rumah yang sempit, rumah kesusahan dan penyesalan.

Setelah lewat lima hari roh berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku.” Maka Allah memperkenankannya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Dan mengalirlah kedua lubang hidung dan mulutnya berupa air nanah.

Firman Allah SWT bermaksud:
Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul qudus) dan para malaikat berdiri dengan berbaris.
( An-Naba’: 38)

Disebutkan dalam satu keterangan, bahawa yang dimaksud roh itu adalah rohnya anak Adam (manusia), dan keterangan yang lain mengatakan bahawa roh itu adalah rohnya malaikat Jibril as. Juga ada keterangan yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya Nabi Muhammad SAW yang berada di bawah Arasy, ia minta izin dari Allah di malam Lailatul Qadar untuk turun memberikan salam penghormatan kepada seluruh mukminin dan mukminat dan roh itu berjalan melalui mereka.

Ada pula yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya para kerabat yang sudah mati, mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, semoga Engkau memperkenankan kami untuk turun ke rumah-rumah kami, sehingga kami melihat anak-anak kami dan ahli-ahli kami. Maka roh-roh itu turun pada malam Lailatul Qadar.

Sebagaimana Ibnu Abbas ra mengatakan: “Jika datang Hari Raya, hari Asyura’, hari Jumaat yang pertama dari bulan Rajab, malam Nisfu Sya’ban, Lailatul Qadar, dan malam Jumaat, roh-rohnya para mayat semua keluar dari kubur mereka dan mereka semua berdiri di pintu-pintu rumahnya seraya berkata: “Belas kasihanlah kamu semua kepada kami di malam yang berkah ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah. Jika kalian bakhil dengan sedekah, dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, maka hendaklah kalian mengingat kami dengan bacaan surah Al-Fatihah di malam yang penuh keberkahan ini.

Adakah seorang telah belas kasihan kepada kami, apakah dari salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami wahai orang yang menempati rumah-rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita (isteri kami), wahai orang yang berdiri memperluas mahligai kami yang sekarang kami dalam kesempitan kubur kami, wahai orang yang membagi harta benda kami, wahai orang.yang menyiakan anak yatim kami. Adakah salah seorang dari kamu sekalian ada yang mengenang perantauan kami? Buku amal kami dilipat dan kitab amal kalian dibuka. Dan bukanlah bagi mayat yang berada dalam liang kubur melainkan pahalanya. Maka janganlah kalian melupakan kami dengan sebuku rotimu dan doamu, sebab kami orang-orang yang berhajat kepada kamu sekalian, selama-lamanya.

Jika mayat memperoleh sedekah dan doa dari mereka maka ia kembali dengan riang gembira, dan jika ia tidak memperoleh maka ia pulang dengan sedih dan duka serta terhalang, dan putus asa dari mereka.
Telah diterangkan, bahawasanya roh dalam perkumpulan haiwan tidak dalam seluruh tubuh, tapi ia dalam satu bahagian dari beberapa bahagian yang tidak dapat ditentukan dengan dalil. Bahawasanya seorang dilukai dengan luka-luka yang banyak maka ia tidak mati. Dan ia dilukai dengan luka-luka satu maka ia menjadi mati. Sebab luka itu jika menimpa pada tempat di mana roh bertempat di mana roh di dalamnya, dan bahawasanya roh bertempat pada seluruh tubuh dan bahawasanya mati itu dalam seluruh tubuh, maka Firman Allah SWT menunjukkan:
Katakanlah: “la akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali yang pertama.”
(Yaa Siin: 79)
Jika dikatakan, apakah bedanya antara roh dengan rawan? Maka kita katakan hahwa keduanya adalah satu. Keduanya tidak ada perbedaan, sebagaimana tubuh serta tangan adalah menjadi satu. Cuma kalau tangan dapat bergerak kesana kemari tapi kalau tubuh sama sekali tidak bergerak. Demikian pula rawan kesana kemari tapi sama sekali tidak bergerak.

Kemudian mengenai tempatnya roh di dalam tubuh tidak dapat ditentukan. Adapun tempatnya rawan di antara kedua alis. Maka jika roh itu hilang seorang hamba menjadi mati, dan jika rawan hilang ia menjadi tidur. Sebagaimana air yang dituangkan qas’ah dan ditaruh di rumah ada matahari yang sinarnya melalui lubang atap dan qas’ah itu tidak bergerak dari tempatnya.

Maka demikian halnya roh bertempat di dalam tubuh dan pusatnya berada di Arasy. Adapun rawan melihat dikala bermimpi dan ia berada di alam malakut.

Adapun tempatnya roh setelah dicabut, ada diterangkan bahawa tempatnya disengkala yang didalamnya terdapat lubang sejumlah bilangan haiwan-haiwan yang dijadikan sampai hari kiamat. Jika ia mendapat kenikmatan berada di situ dan jika mendapat azab maka di situ pula.

Ada disebutkan bahawa roh-roh para mukminin berada dalam telur burung yang hijau di syurga iliyyin, adapun rohnya orang-orang kafir berada dalam telur burung yang hitam di neraka. Dan ada dikatakan bahawa rohnya para mukminin ketika dicabut, maka para malaikat rahmat sama mengangkat membawa naik roh ke langit yang tujuh dengan memuliakan dan mengagungkan. Kemudian dipanggil Zat pemanggil dari sisi Allah yang Rahman: “Hendaklah kamu semua menulis roh itu dalam Illiyyin lalu kembalikanlah ke bumi.”

Maka mereka mengembalikan roh seorang mukmin ke dalam tubuhnya dan ia dibukakan pintu syurga, ia melihat tempatnya di syurga sampai datangnya hari kiamat.

Dan bahawasanya rohnya orang-orang kafir sewaktu dicabut maka para malaikat azab sama membawa naik roh itu ke langit dunia. Maka ditutuplah pintu-pintu langit yang lain dan ia diperintah mengembalikan ke tempat berbaring tubuhnya, kuburnya disempitkan dan ia dibukakan pintu neraka. Oleh kerananya ia melihat tempat kediamannya kelak sampai datangnya hari kiamat. Dalam hal ini sebagaimana pernah disabdakan Nabi SAW, sehingga bahawasanya mereka mendengar suara sandal-sandal kalian, hanya saja mereka terhalang dari berkata.

Sebahagian Hukama’ ditanya tentang tempat roh-roh setelah mati, maka ia menerangkan sebagai berikut:

    1. Bahawasanya roh-roh para Nabi berada dalam Syurga Adn, ia berada dalam liang yang menyenangkan tubuhnya. Adapun tubuh bersujud kepada Tuhannya.
    2. Roh-roh para Syuhada berada di syurga Firdaus, pada tengahnya syurga itu berada dalam telih burung yang hijau yang terbang di syurga sekehendak hatinya. Kemudian datang keqanadil yang digantungkan di Arasy.
    3. Adapun roh-rohnya anak-anak kecil yang Islam berada dalam telih burung pipitnya Syurga.
    4. Roh-rohnya para anak-anak musyrik berputar-putar di syurga dan ia tidak punya tempat, sampai hari kiamat. Lalu mereka melayani para mukminin.
    5. Roh-rohnya orang-orang mukmin yang mempunyai hutang dan aniaya digantung diangkasa. Ia tidak sampai ke syurga dan tidak pula ke langit sampai ia membayar hutangnya dan penganiayaannya.
    6. Roh-rohnya orang-orang Islam yang berdosa diazab dalam kubur beserta tubuhnya.
    7. Roh-rohnya orang-orang kafir dan munafik dalam penjara neraka Jahannam dipintakan diwaktu pagi dan petang.

    Dan disebutkan, bahawasanya roh adalah merupakan jisim yang halus. Oleh kerana itu tidak dapat dikatakan jika Allah itu mempunyai roh. Sebab mustahil kalau Allah mempunyai tempat seperti jisim-jisim. Dan dikatakan bahawa roh adalah merupakan sifat dan dikatakan pula kalau ia pecah jadi angin, maka kedua perkataan ini adalah perkataannya orang yang mengingkari adanya seksa kubur.

Ada diceritakan, bahawasanya seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, maka mereka bertanya kepada baginda tentang roh dari Ashabi Raqim dan dari Raja Dzil Qarnain. Dengan perdebatan Yahudi itu maka turunlah surah Al-Kahfi.
Dan diturunkan tentang haknya roh adalah Firman Allah SWT.

    Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku.”
    (Yaa Siin: 79)

    Marilah kita menginsafi diri dan selalu ingat kita akan kembali... pasti!

Isnin, September 01, 2008

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan 1429

Alhamdulillah, ucapan penuh rasa kesyukuran hanya padaMu ya Allah kerana menganugerahkan kami sekali lagi di Ramadhan penuh keberkatan ini. AmpunanMu, kami harapkan. Tiada daya menghindarkan kesalahan dan dosa yang menggunung tinggi yang tidak terdaya kami menanggungnya melainkan Engkau ampunkan kami ya Allah.

Ibarat merindui kekasih yang lama menghilang, hadirmu Ramadhan kami nanti bersama semarak cinta dan kasih yang memuncak. Akan kami imarahkan 'madrasah ramadhan' ini ya Allah sebagaimana ajaran dan pesanan kekasihmu, rasul junjungan nabi Muhammad saw. Bantulah kami ya Allah agar Ramadhan ini amat bererti dan amat memberi makna kepada kami dalam menuju 'insanul kamil' lagi bertaqwa.

Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, jadikanlah puasa kami puasa yang diterima. Kuatkanlah kami untuk menghidupkan malam-malam penuh keberkatan ini dengan tarawikh dan tazkirah, tadarus dan qiyamullail agar dapat kami gandakan amal ibadah kepadaMu di keheningan malam saat sujud terasa paling dekat denganMu.

Amin... perkenankanlah doa kami ya Allah!

Iklan lagi....!