Selasa, Julai 13, 2010

RANGKAIAN SchoolNet DI SEKOLAH

99 sekolah miliki rangkaian SchoolNet: Puad Zarkashi

2010/07/13 KUALA LUMPUR: Kira-kira 9,618 atau 99 peratus sekolah di seluruh negara mempunyai rangkaian SchoolNet, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zarkashi.Beliau berkata, sejumlah 6,633 sekolah sudah dilengkapi makmal komputer dan 3,025 mempunyai pusat akses sekolah.

"Berdasarkan angka itu saya yakin sekolah di negara kita setaraf sekolah di negara lain dari segi penggunaan SchoolNet dan teknologi pendidikan," katanya menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang ingin tahu mengenai jumlah sekolah yang mempunyai kemudahan teknologi maklumat (IT) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Puad juga berkata, program EduwebTV yang diperkenalkan kementerian itu pada 1 Mac 2008 untuk melahirkan generasi celik IT telah memberi kesan dalam membantu murid untuk meneruskan pelajaran mereka dari rumah masing-masing.EduwebTv mempunyai purata 500,000 capaian sebulan dengan 33 peratus daripada capaian itu adalah dari rumah. "Jumlah capaian web TV sepanjang bulan April 2009 saja adalah sebanyak 397,977 capaian," katanya ketika menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong). Noraini bertanyakan sejauh mana penyiaran TV pendidikan melalui Internet iaitu EduwebTV dimanfaatkan sekolah di luar bandar untuk merapatkan jurang digital dalam pendidikan.
EduwebTV bertujuan menangani kekangan penggunaan TV pendidikan di mana terdapat guru yang tidak dapat menyesuaikan jadual waktu persekolahan dengan jadual program TV pendidikan. "Dengan adanya EduwebTV, guru boleh memilih saluran rancangan TV pendidikan mengikut kesesuaian jadual waktu dan keperluan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Puad berkata, EduwebTV juga berkesan kerana murid boleh mendapat manfaat daripada kandungan yang disediakan seperti Berita Pendidikan (Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia), Rancangan Akademik, Rencana, Wawancara, kurikulum, Interaktif dan siaran langsung arkib.Katanya, sehingga akhir bulan lalu, sejumlah 3,185 program telah dimuat naik sebagai kandungan EduwebTV.
Menerusi EduwebTV juga, murid boleh meningkatkan kemahiran menggunakan internet memandangkan EduwebTV perlu dicapai melalui rangkaian SchoolNet. "Bagi murid-murid yang tiada capaian internet di rumah, mereka boleh mengakses rancangan EduwebTV di luar waktu sekolah melalui Pusat Akses Sekolah yang diwujudkan di sekolah," katanya. Menjawab soalan tambahan Noraini, Puad berkata, sehingga awal tahun ini, seramai 10,488 guru dan pegawai kementerian itu telah menerima latihan penggunaan EduwebTV dalam pelajaran dan pembelajaran. "Keutamaan diberikan kepada guru penyelaras media dan guru penyelaras bestari yang akan menjadi jurulatih utama dalam menggerakkan penggunaan EduwebTV di sekolah," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Iklan lagi....!