Khamis, Julai 15, 2010

Membaca Tanpa Henti di SK. Taman Sea


PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman SEA Seksyen 2, Petaling Jaya akan mengadakan Program Bacathon yang akan direkodkan dalam Malaysia Book Of Records bermula 15 hingga 24 Julai ini.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Wong Kok Beng berkata, program ini dijalankan selama sembilan hari bagi memecahkan rekod membaca tanpa henti yang dijalankan selama 24 jam sehari.
"Setiap pelajar akan mengambil masa membaca selama sepuluh minit seorang secara bergilir-gilir dengan menggunakan bahan bacaan dalam bahasa Melayu sahaja," katanya pada satu sidang akhbar baru-baru ini.
Penaung Program Bacathon itu ialah Datuk Saifuddin Abdullah. Seramai 72 orang murid yang terlibat di samping 42 orang guru yang bertugas untuk menjayakan program itu.
Program tersebut diadakan untuk mengumpul dana PIBG bagi membaikpulih infrastruktur sekolah sekali gus menaiktaraf keperluan yang sekolah tersebut dengan sasaran kutipan dana sebanyak RM50,000.
"Kami berharap agar badan-badan korporat sedia memberi sumbangan atau dana untuk membantu PIBG dalam menjayakan objektif program ini," ujar Kok Beng.
"Setakat ini badan korporat yang telah melibatkan diri untuk memberi bantuan ialah Bank Rakyat dan Bank Islam," kata beliau.
Bagaimanapun, program itu bertujuan untuk memupuk minat pelajar dengan lebih banyak membaca sekali gus mengeratkan silaturahim di kalangan guru, murid dan ibu bapa.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti gerai jualan, pameran daripada agensi kerajaan dan kempen derma darah untuk menarik lebih ramai pengunjung ke program tersebut.
"Kami berharap ibu bapa dan para pengunjung dapat hadir untuk menjayakan program ini serta memberi galakkan kepada pelajar untuk terus membaca," ujarnya.

1 ulasan:

Zul-Elle berkata...

Bagus juga idea membaca tanpa henti ni... tapi, baca kuat ke, baca perlahan ke atau baca dalam hati ni? he he he...

Iklan lagi....!