Isnin, Julai 20, 2009

UPSR tetap diteruskan

SHAH ALAM - Kerajaan belum membuat keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) walaupun dilihat tidak lagi relevan dalam sistem pendidikan negara yang dinamik, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebaliknya, Muhyiddin berkata, UPSR masih boleh digunakan sebagai asas penilaian, tetapi dengan sedikit pengubahsuaian terhadap peperiksaan itu. “Mungkin kepentingannya dikurangkan daripada 100 kepada 30 atau 40 peratus. Yang lain akan ambil kira pelajaran sejarah. “Transformasi akan dilakukan terhadap UPSR dengan memasukkan elemen lain seperti mata pelajaran Sejarah sebagai kayu pengukur bagi menilai prestasi murid,” katanya kepada media selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim kelmarin yang mencadangkan UPSR yang tidak lagi relevan kini dimansuhkan. Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan dilaporkan sebagai berkata, UPSR perlu dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid-murid dalam semua mata pelajaran. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya sedang ambil pendekatan baru bagi menilai prestasi pelajar secara holistik menerusi apa yang dipanggil sistem berasaskan sekolah yang sedang disusun kementeriannya. Sementara itu, Muhyiddin mengucapkan takziah dan simpati kepada rakyat Indonesia serta mangsa lain yang terkorban dan cedera dalam tragedi pengeboman di dua hotel di Jakarta, Ritz Carlton dan JW Marriot, baru-baru ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Iklan lagi....!