Khamis, Ogos 12, 2010

Sambut Ramadan seikhlas hati

SEPERTI umat Islam yang lain di seluruh dunia, sambutan Ramadan di United Kingdom tidak kurang meriahnya, cuma terhad kepada sebilangan kecil Muslim yang masih mengamalkan cara hidup Islam dalam kalangan bangsa Melayu, Arab dan Pakistan yang menetap di sini.

Walaupun tidak ketara seperti di Malaysia, persediaan serba sedikit mengingatkan kami akan hadirnya Ramadan yang bertandang sekali setahun. Waktu sahur berakhir pada jam 4.00 pagi tentunya tidak menjadi masalah kerana tidak jauh beza dari Malaysia, tetapi di awal Ramadan, kami berbuka pada jam 9 malam. Keadaan ini menguji kekuatan dan kesabaran, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa dan juga ibu hamil yang cuba sedaya upaya menyempurnakan Ramadan, walaupun ada rukhsah untuk mereka tidak berpuasa.

Hakikatnya, di mana saja berada tanggungjawab kepada yang Esa wajib ditunaikan dengan penuh keinsafan. Tawaran pahala berlipat ganda, anugerah lailatulqadar dan keampunan dari dosa tentunya tidak mampu ditinggalkan begitu saja.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah maka diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tambahan pula gangguan syaitan yang selama ini membantutkan tekad dan hasrat untuk melakukan kebajikan juga dihalang oleh Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila sudah tiba Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan syaitan dirantai." (Hadis riwayat Ahmad)

Itulah yang menyebabkan kegembiraan tidak terkira kepada sesiapa yang masih diberi ruang dan peluang memohon keampunan pada bulan penuh rahmah dan barakah ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka." (Hadis riwayat Ahmad)

Inilah sepatutnya diterapkan dalam jiwa anak-anak seawal mereka mula ingin memahami sebab dan musabab berpuasa. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal diri melakukan maksiat, kejahatan serta dosa-dosa lain.

Selain perutnya, hati juga berpuasa, malah mata, telinga dan mulut turut berpuasa daripada halwa yang selama ini mendendangkan lagu alpa, yang menghitamkan hati selama sebelas bulan. Tentunya menahan diri seharian tidak mudah apatah sememangnya banyak cabaran dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

Tanpa kesabaran dan kekuatan iman, mustahil seseorang itu mampu berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bersabar saja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (Surah Az-Zumar, ayat 10)

Sebab itu, tidak pelik apabila melihat ramai yang terang-terangan merokok, makan dan minum di khalayak, terutama di restoran, kedai makan serta bazar Ramadan, dalam kalangan penjual juadah berbuka itu sendiri kerana mereka tidak sabar.

Justeru, bagi yang baru belajar berpuasa genap sebulan atau berhasrat melakukannya dengan sungguh-sungguh kali ini, cubalah memperbanyakkan membaca al-Quran dan solat berjemaah serta penuhi kelapangan waktu dengan beriktikaf di masjid.

Amalan ini boleh mendekatkan kepada Allah dan menjalankan kewajipan sebagai Muslim dengan jujur dan amanah, sekali gus hati akan sentiasa jauh daripada nafsu serakah yang membaja dalam diri, walaupun tiada desakan syaitan.

Jangan sesekali membiarkan diri melakukan perbuatan sia-sia atau mengundang dosa kerana ia boleh mengurangkan kualiti puasa atau membatalkannya.

Ujian berpuasa tentulah tidak seberapa berbanding kelebihan dan manfaat Ramadan yang disediakan dalam pakej lengkap, bagaikan hadiah pertama akan diberi kepada setiap juara yang mampu menjawab semua soalan dengan betul, cuma majlis anugerahnya tertangguh di akhirat sana.

(Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom )

Tiada ulasan:

Iklan lagi....!