Ahad, Ogos 31, 2008

KEM BESTARI SOLAT-SEKOLAH-j-QAF

Bertempat di SK. Taman Bunga Raya 1, tanggal 29 Syaaban 1429H bersamaan 30 Ogos 2008 (Sabtu) telah diadakan satu program iaitu 'Kem Bestari Solat' anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor bermula jam 8.00 pagi.

Sebagai pengenalan, Program Kem Bestari Solat merupakan salah satu daripada modul yang terdapat dalam program j-QAF. Aktiviti ini dilaksanakan dalam bentuk perkhemahan (kem) untuk menarik minat murid bagi memastikan murid-murid dapat menunaikan solat dengan sempurna dari segi bacaan, perbuatan, ilmu pengetahuan dan penghayatan. Program ini juga merupakan salah satu aktiviti pengukuhan dalam bentuk amali yang diketengahkan kepada murid-murid sekolah rendah yang beragama Islam bermula dari Tahun Satu lagi.

Antara objektif program ini adalah:
a. Murid dapat berwudhuk dengan sempurna.
b. Murid dapat mengetahui bilangan rakaat solat-solat fardhu.
c. Murid dapat melaksanakan semua bacaan dalam solat-solat dengan betul dan lancar.
d. Murid dapat melaksanakan solat dengan melaksanakan solat dengan sempurna sama ada
secara bersendirian atau berjemaah.

Ucapan dan rakaman terima kasih dan penghargaan sewajarnyalah diberikan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Terima kasih kepada Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Selangor dan Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Selangor. Terima Kasih kepada Guru Besar SK. Taman Bunga Raya (1), semua Guru Besar Sekolah-sekolah Rendah Daerah Hulu Selangor dan Jawatankuasa Pelaksana Program Kem Bestari Solat kali ini. Dan, tidak lupa juga terima kasih sekalung budi, jasa tuan/puan dalam kenangan buat para fasilitator Kem Bestari Solat yang dedikasi serta guru-guru SK. Taman Bunga Raya (1) dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, jazakallahu khairan khathira.

Akhirul kalam, "Solat dapat mencegah seseorang daripada melakukan perkara-perkara maksiat". Terima kasih dan jumpa lagi...

Sabtu, Ogos 30, 2008

Rehat


indah alam ciptaan Tuhan,

jangan lupa suruhanNya....ye!

Ufuk Minda: Kasih sayang, berilmu, teladan ciri utama pendidik


Ufuk Minda: Kasih sayang, berilmu, teladan ciri utama pendidik



PENDIDIK atau guru adalah ejen penting membangun modal insan. Modal insan tidak akan terbentuk jika peranan guru dinafikan. Ada kecenderungan pendidikan pada zaman ini ke arah sifat mekanistik, bermakna peranan guru membentuk watak sudah semakin terbatas.
Pendekatan portal atau menggunakan teknologi komputer, perisian dan program menjadi semakin penting. Mekanistik juga memberi erti mendidik menggunakan alat iaitu teknologi. Dari sudut minda ia memang membantu. Membangun peribadi, akhlak dan nilai, pendidikan memerlukan guru.

Modal insan yang ingin dibangunkan tidak saja mengambil kira perkembangan kognitif atau minda, juga pembangunan faktor dalaman dan jasmani. Pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi menyediakan generasi hari depan berkebolehan dan memiliki daya tahan.

Cabaran kini dan masa depan tidak saja saintifik dan teknologi sifatnya tetapi ia juga berbentuk tabiat, tingkah laku, sistem nilai dan cabaran kemanusiaan.

Banyak fokus diberikan kepada pembangunan maklumat, ilmu dan ketrampilan dalam pendidikan. Ia harus seimbang dengan proses pembangunan diri yang membabitkan sikap, nilai, etika dan tingkah laku.

Modal insan yang boleh membantu kemajuan dan perubahan tidak saja memiliki ilmu, kemahiran dan kepakaran tetapi ia diterjemah dalam amal dan perbuatan. Dalam kerja penyelidikan dan amali, prinsip amanah, adil, jujur, ikhlas, bijaksana perlu dijadikan prinsip asasi di samping upaya ilmu dan ketrampilan.

Darinya melahirkan modal insan yang berkebolehan, mampu bersaing, memiliki daya reka dan daya gubah yang tinggi, berfikir kreatif dan strategik dan pada masa sama memiliki kualiti diri yang unggul.

Sekolah ejen penerus apa yang dibentuk di rumah. Ibu bapa adalah ejen awal guru dan pendidik. Di sekolah, pendidik memberi pelajaran yang lebih tersusun kepada murid atau pelajar.

Jika di rumah asas pendidikan berlaku, guru di sekolah menerima murid yang berkualiti. Sebaliknya, jika pendidikan tidak berlaku di rumah, guru di sekolah mungkin menerima anak murid yang cicir. Di sinilah letaknya peranan pendidik memperkasa murid berkualiti.

Murid yang bermasalah sebenarnya mempunyai bakat tersendiri. Menerima masalah murid sebagai masalah memang tidak boleh menyelesaikan masalah. Melihat masalah sebagai cabaran untuk dileraikan menjadi tanggungjawab pendidik.

Tidak semua murid atau pelajar datang daripada keluarga yang sama. Ada anak yang mempunyai asas pendidikan baik kerana ibu bapanya memberi perhatian terhadap anaknya. Ada anak yang terbiar, datang daripada keluarga bermasalah, ibu bapa tidak menjadi contoh yang baik, kemiskinan menjadi penghalang dan persekitaran tidak kondusif untuk menerima didikan dan perubahan.

Pendidik seharusnya melihat anak muridnya seperti anak sendiri. Sekolah dan pendidikan tidak saja memberikan mereka ilmu dan ketrampilan tetapi perubahan sikap, mentaliti dan tingkah laku.

Kejayaan anak murid tidak terletak kepada pencapaian akademik semata-mata. Ilmu dan kemahiran penting bagi mengisi peluang pekerjaan. Tetapi sikap, mentaliti dan tingkah laku penting supaya kualiti diri mereka menjadi pemangkin ke arah proses kemajuan dan perubahan. Jika kualiti diri tidak ada, mereka menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Pendidik adalah murabbi, muallim dan juga muaddib. Watak murabbi yang ada pada pendidik menghubungkan ilmu, sahsiah dan ketrampilan dengan agama atau dengan Allah. Islam mengajar pendidik supaya memiliki perasaan kasih sayang, belas kasihan dan sabar terhadap anak murid.

Allah mempunyai ihsan yang tinggi terhadap hamba dan makhluk. Pendidik mesti memiliki ihsan terhadap anak murid dan pelajar. Tanpa kasih sayang dan belas kasihan terhadap mereka, kejahilan mengambil tempat.

Pendidik juga adalah muallim iaitu orang yang memiliki ilmu. Sifat ilmu menjadi suluh kepada kehidupan. Ilmu ibarat cahaya untuk mengatasi kejahilan atau kegelapan. Dalam pengajaran dan pembelajaran proses didik tidak hanya selesai dengan kaedah mengingat dan menghafal. Anak didik perlukan kefahaman.

Sebagai muallim, pendidik mesti memiliki kaedah bagaimana ilmu yang disampaikan menjadikan anak didiknya faham. Kefahaman adalah puncak kepada proses pembelajaran. Keciciran yang berlaku pada murid akibat mereka tidak faham apa yang guru ajar.

Pendidik berwibawa memiliki jiwa muaddib. Pendidikan adalah proses mengadabkan insan. Muaddib berperanan memberikan asas disiplin kepada minda, hati dan amal murid. Pendidik yang muaddib harus memiliki kualiti kerana akhirnya guru menjadi qudwah atau contoh yang baik kepada murid selepas ibu bapa.

Kesyukuran...

Apa pun situasi dan keadaannya... syukurlah padaNya.
ambillah peluang dan kesempatan untuk berbuat amal dan bakti,
muhasabah diri dan munajat pada Yang Maha Esa.

Siapa dan apapun kita, syukurlah padaNya.
Dia yang telah memberi ruang dan kesempatan,
untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Di mana dan ke manapun kita, syukurlah padaNya.
berjalanlah ke setiap inci dan penjuru bumi,
lihat dan insafilah kekerdilan diri...

salam ukhuwah dari mindamuallim.
sudi kiranya berkongsi rasa berbual bicara
lewat ruang maya tanpa suara...

Iklan lagi....!