Sabtu, Jun 11, 2011

Maut digilis treler - Sinar Harian 11/06/2011



BUKIT SENTOSA - Seorang remaja maut sementara rakannya parah setelah digilis treler dalam kemalangan di simpang tiga, Jalan Rasa-Bukit Beruntung dekat Masjid As Salam, di sini awal pagi semalam. 

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Zulfadhli Ramly, 16, maut akibat kecederaan parah di kepala dan kaki setelah terperosok di bawah treler dan rakannya, Mohd Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, yang turut terperosok parah dan mengalami patah dibeberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, kejadian itu melibatkan motosikal ditunggang kedua-dua mangsa dengan treler dipandu Nehru, 40 yang membuat pusingan U di laluan terbabit. 

Bagaimanapun katanya, treler terbabit telah melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis. 

“Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori terbabit datang ke balai polis untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya. 

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat. Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu yang mengambil masa hampir sejam berbuat demikian. 

Sementara itu, menurut beberapa saksi di lokasi kejadian, traler terbabit didapati membuat pusingan U di laluan salah iaitu menongkah arus kerana didakwa tidak mahu melalui jalan jauh di hadapan masjid. 

Dalam pada itu, suasana pilu menyelubungi rumah mangsa di Jalan Seroja 5, di sini apabila ahli keluarga tiba dan bersiap untuk solat jenazah selepas solat Jumaat di Masjid As Salam. 

Ibu mangsa, Rosmah Dollah, 49, ketika ditemui hanya sempat menceritakan permintaan anak bongsunya itu yang kerap mahu diurut setelah letih bersukan. 

Menurutnya, anaknya bekerja sambilan di sebuah restoran di Bandar Bukit Sentosa dan pulang selepas habis kerja kira-kira jam 2.45 pagi. 

“Arwah seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga dengan bekerja sambilan. 

“Tetapi, tidak sangka arwah mati dalam keadaan tragis begini,” katanya. 

Rakan mangsa, Mohd Azim Firdaus masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB dan dilaporkan stabil.

1 ulasan:

Zul-Elle berkata...

Mohd. Azim Firdaus juga telah meninggal dunia semalam di HSB. Al-Fatihah.

Iklan lagi....!