Sabtu, Jun 11, 2011

Anak maut digilis treler

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

mdfuzi@hmetro.com.my

ANGKAT...jenazah Mohd Zulfadzli dibawa masuk ke dalam van mayat, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulfadzli.
ANGKAT...jenazah Mohd Zulfadzli dibawa masuk ke dalam van mayat, semalam. Gambar kecil, Mohd Zulfadzli.
BUKIT BERUNTUNG: “Saya tak sanggup melihat mayat anak yang hancur kaki dan badannya akibat digilis treler. Sungguh tidak sangka dia pergi secara mengejut dan ia memilukan kami sekeluarga,” kata Rosnah Dollah, 49, ibu Mohd Zulfadzli Ramli, 16, yang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Bukit Sentosa-Kuala Kubu Bharu, dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha dan dibonceng rakannya, Muhammad Azim Firdaus Mohamad Abdullah, 14, pulang daripada bekerja sambilan sebagai pelayan restoran di Bandar Bukit Sentosa ke rumah mereka di Taman Seroja, dekat sini.


Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 3.10 pagi selepas menerima berita itu daripada jiran.
“Saya tidak dapat menahan sebak melihat mayat anak yang terperosok bawah treler panjang. Rakannya parah dan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) sejam selepas kejadian.


“Arwah mahu pulang ke rumah selepas bekerja sambilan sejak setahun lalu di Bandar Bukit Sentosa untuk mencari wang saku untuk belanja persekolahannya. Dia anak yang baik dan manja dengan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurut Rosnah, ketika kejadian dia dan suaminya, Ramli Mohd Yusof, 54, tidur di rumah.
Katanya, arwah yang juga pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sentosa 2 anak bongsu daripada tiga beradik suka berjenaka dan penyayang.


“Saya tidak sangka perangai peliknya yang meminta digosok kakinya berulang kali dua hari lalu petanda akhir hayatnya.
“Kami terkilan melihat keadaannya yang teruk selepas terbabit kemalangan itu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi, berkata kejadian itu membabitkan motosikal ditunggang dua remaja bertembung treler dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Nehru, 40, yang membuat pusingan U di laluan terbabit.


Katanya, treler terbabit melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa terperosok sebelum digilis.


“Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu terbabit datang ke Balai Polis Bukit Sentosa untuk membuat laporan sejurus kejadian itu,” katanya.

Tiada ulasan:

Iklan lagi....!