Jumaat, April 05, 2013

SISTEM MENGARUT BEBANKAN GURU

Sistem mengarut bebankan guru

Oleh: Mental Terbeban


Sebelum ini kerajaan telah menguar-uarkan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji bebanan tugas guru. Sejak tahun 2010 sehingga 2013, jawatankuasa ini masih belum mengemukakan apa-apa penyelesaian bagi isu ini. Belum pun kerajaan mencari jalan penyelesaian untuk bebanan yang disebutkan sebelum ini, timbul pula bebanan-bebanan baru.  


Akhir-akhir ini, guru-guru dibebani dengan pelbagai lagi kerja perkeranian secara online dan bukan online. Jika dulu guru hanya perlu mencatat markah pelajar dalam buku rekod, kini terpaksa menghadap komputer berjam lamanya untuk memasukkan pelbagai jenis data dalam pelbagai jenis perisian komputer seperti SAPS, SMM, APDM, SSDM, SSDM-A, SPPPBS, NILAM, dan dan lain-lain lagi. Bayangkan bukan sahaja segala maklumat pelajar di bawah tanggungjawab kami untuk kami isi, malahan guru-guru juga telah menjadi pegawai kesihatan di sekolah. Kami jugalah yang menimbang berat pelajar dan mengira BMI untuk setiap pelajar, menganalisis dan merekodkannya pada setiap bulan.

Dengan adanya sistem PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) pula, waktu tidur bukan lagi pukul 11 malam, tetapi pernah sampai pukul tiga pagi saya menghadap komputer. Saya sentiasa tidur lambat untuk menyediakan dan menanda latihan dalam kapisiti yang begitu banyak setiap minggu sejak PBS dilaksanakan. Demam kami dibuatnya. Saya tidak mampu menyiapkan kerja-kerja PBS seperti membina instrument sendiri, meriso kertas, menanda, menyemak, menyusun dan memasukkan data ke dalam sistem di mana melibatkan 160 orang pelajar bagi setiap 216 soalan. Masalah paling besar ialah semasa ingin memasukkan 160 band pelajar ke dalam sistem. (160 X 216 = 34,560 data). Selepas dimasukkan dalam sistem, kami terpaksa menggeledah fail untuk memasukkan latihan untuk semua pelajar. Jadi bayangkan berapa banyak data dan masa harus diambil untuk menyiapkannya. Sistem sedia ada pula tidak mesra pengguna dan kerapkali menghadapi ‘internal error.’ 
Add caption
Bukan sahaja guru-guru merasai keperitan PBS, malahan pelajar apabila ditanya juga mengatakan, “Ruginya masuk tingkatan satu tahun ini (tahun lepas).” Mereka menunjukkan reaksi muak apabila nampak sahaja kelibat guru. Setiap guru yang masuk selepas sedikit penerangan, akan memberikan latihan sehingga ujian yang mereka hadapi dalam satu hari bertubi-tubi melebihi “input”.


Di sekolah kami berhempas pulas menyiapkan kerja-kerja ko-kurikulum, mengisi data, terlibat dalam AJK kecil untuk pelbagai jenis program, menjalankan kelas tambahan dan lain-lain lagi, di rumah juga kerja terpaksa disambung sampai ke pagi. Kami bukanlah robot. Dengan pelbagai tugasan ini, bilakah masanya untuk kami membuat persediaan untuk masuk mengajar dan menjadi pendidik yang efektif?


Bila ditanya tentang PBS dan keluar di kaca televisyen, segala komentar yang diberikan nampak positif, tetapi untuk mengetahui hakikat sebenar, turun dan lihatlah sendiri keadaan guru-guru di sekolah yang makin tertekan. Kami rasa benar-benar diperbodohkan dengan Dialog: Pentaksiran Berasaskan Sekolah yang disiarkan pada 20 Februari 2013 jam 10 malam di TV1 kerana seluruh guru di Malaysia tahu situasi yang sebenar adalah sebaliknya.


Kami terfikir-fikir mengapakah kerajaan mengambil sistem PBS yang telah dimansuhkan oleh banyak negara maju? Mengapa kerajaan tidak mengkaji dengan mendalam sistem ini? Di negara maju PBS dilaksanakan kerana bilangan pelajar dalam setiap kelas adalah sedikit, guru dibantu oleh “teacher assistant” tambahan pula silibus pelajaran juga sangat sedikit dibandingkan dengan Malaysia dan di setiap kelas ada fasiliti yang lengkap.


Saya sebagai rakyat Malaysia sedih dengan pembaziran secara besar-besaran dalam perbelanjaan yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekejap mahu aplikasi sistem PPSMI, sekejap mahu mansuhkan PPSMI. Ini jugalah yang akan berlaku pada sistem PBS. Apabila pimpinan sudah bertukar, sistem pun akan berubah. Bukankah ini pembaziran namanya. Penukaran buku teks sahaja melibatkan perbelanjaan jutaan ringgit dan ini tidak termasuk kos-kos lain yang lebih besar seperti kursus untuk guru-guru dan lain-lain lagi.


Kasihanilah kami. Di manakah janji kerajaan ingin mengkaji bebanan tugas guru-guru kerana kini bebanan kami bertambah lagi? Kami juga ingin melapangkan masa bersama anak-anak kalau bukan setiap hari pun, sekurang-kurangnya pada hujung minggu kami ingin mengenepikan sebentar kerja-kerja yang berlambak dan keluar makan bersama suami dan anak-anak. Bukankah falsafah pendidikan negara menekankan “berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta dapat menyumbang terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”. Kami, guru-guru benar-benar perit dengan apa yang kami terpaksa kami lalui hari ini.


Marilah kawan-kawan sekalian, untuk PRU kali ini kita bersatu padu tanpa mengira bangsa, agama, budaya, latar belakang dan fahaman politik menolak sistem pendidikan sedia ada yang menghempap guru-guru pada hari ini.


Jangan sudah terhantuk baru terngadah, cukuplah dengan rekod kita menjadi antara warga paling ramai mengisi ruangan wad jiwa, marilah kita sama-sama berdoa dengan cara masing-masing agar bebanan yang menghempap di dada kita akan terlepas dengan kejayaan parti pembangkang.


Sampai bilakah kita harus membuat begitu banyak kerja perkeranian, kerja pemfailan, pengisian pelbagai jenis data, penandaan, pengisisan data dan penyusunan beratus latihan PBS, aktiviti ko-kurikulum, majlis dan aktiviti rasmi sekolah, kursus, mesyuarat, penandaan buku latihan, kelas tambahan dan bermacam bagai lagi yang begitu banyak sehingga tidak mampu disenaraikan satu-satu. Kita dipaksa melakukan segalanya sedangkan kita bukanlah Aladdin dengan Lampu Ajaib. Kita hanya ada 24 jam sehari. Aladdin pun boleh lari bila tengok senarai tugas yang dicampakkan atas kepala kita.

Marilah kita berikan peluang kepada parti pembangkang untuk membuktikan kata-kata mereka untuk membela nasib guru-guru. Biarlah Menteri-menteri yang cerdik pandai tahu kita warga pendidik juga mempunyai suara dan ada masanya akan berasa letih. Marilah kita berganding bahu menyokong parti pembangkang supaya suatu hari nanti kerajaan pada hari ini akan buka mata kepada keperitan yang terpaksa kita lalui saban hari.

Tiada ulasan:

Iklan lagi....!