Sabtu, Ogos 28, 2010
Puasa 15 jam sehari di Washington tak luntur semangat
Kata pepatah, "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,lebih baik hujan batu di negeri sendiri". Namun, tuntutan kerja serta jihad menimba ilmu pengetahuan membawa rakyat Malaysia mengembara ke merata pelosok dunia.Justeru, kedatangan Ramadan penuh keberkatan yang sentiasa dinantikan umat Islam hanya berlainan dari aspek suasana persekitaran tetapi roh serta nilai keagamaan termasuk pengisian rohani tetap sama.
Bagi rakyat Malaysia di Washington, pengisytiharan awal Ramadan untuk tahun 1431 hijrah ditetapkan pada 11 Ogos dibuat oleh Persatuan Islam Amerika (ISNA) di masjid di Washington.
Cabaran kali ini, umat Islam di sekitar wilayah timur dan tengah Washington seperti Virginia, New York dan Chicago akan berpuasa selama 15 jam bermula waktu imsak jam 5.03 pagi hingga tiba masa berbuka jam 8.08 malam.
Sementara di wilayah barat antaranya California, Washington State dan Nevada, tempoh berpuasa satu jam lebih panjang bermula imsak jam 4.27 pagi dan berbuka jam 8.23 malam. Mengenangkan ini, alangkah seronoknya berpuasa di Malaysia.
Bagaimanapun, cabaran berpuasa untuk masa yang agak panjang sedikit pun tidak mengurangkan semangat serta tekad umat Islam termasuk rakyat Malaysia menghiasi Ramadan dengan aktiviti biasa dilakukan di tanah air.
Tugas hakiki tetap dilaksanakan dan tiba masanya meningkatkan amalan digalakkan sepanjang Ramadan, peluang tidak disia-siakan. Di sini, solat sunat tarawih dilaksanakan di rumah pegawai dan kakitangan kedutaan serta agensi lain seperti Jabatan Penuntut Malaysia (MSD), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta jabatan pertahanan.
Tuan rumah dengan sukarela menyediakan ruang untuk masyarakat Malaysia di sana menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah dan amalan moreh diteruskan dengan masing-masing membawa juadah.
Solat sunat Tarawih lapan rakaat diimamkan ustaz dari MSD yang turut menyampaikan tazkirah sebagai peringatan mengenai keistimewaan serta peluang disediakan Allah untuk hambanya pada Ramadan.
Selain solat Tarawih di rumah, ada juga yang dianjurkan oleh komuniti Islam di sini dan dilaksanakan di masjid atau tempat khas seperti dewan hotel yang disewa.
Majlis tadarus di sini dibahagikan kepada tiga iaitu kaum muslimat sama ada perwakilan atau suri rumah akan mengadakan tadarus al-Quran secara bergilir-gilir dari rumah ke rumah khususnya pada hujung minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Sementara pegawai yang bekerja mengikuti program tadarus al-Quran ketika rehat tengah hari dari jam 1 hingga 2 petang. Program khatam al-Quran kali ini dijadual diadakan pada malam 27 Ramadan di Kedutaan Besar Malaysia di Washington.
Sambutan atau amalan sepanjang Ramadan membabitkan usaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan merebut rahmat, keampunan serta janji dijauhkan daripada api neraka, tiada beza termasuk di Washington.
Cuma, ada sesetengah budaya yang sebati dengan rakyat Malaysia sama ada tidak dijumpai atau mungkin ada tetapi sedikit berbeza, dirasai mereka yang berada di negara orang. Masing-masing ada pengalaman tersendiri.
Di sini, paling dirindui ialah pemandangan kesibukan aktiviti membeli belah dan peniaga menjual juadah berbuka puasa di bazar Ramadan yang memang meriah di Malaysia setiap kali kedatangan bulan puasa.
Mungkin ada hikmahnya kerana apabila masak sendiri lebih jimat dan dapat mengelak daripada pembaziran.
Oleh itu, kebanyakan masyarakat Melayu di sini memasak sendiri juadah berbuka untuk keluarga atau diri masing-masing. Bagaimanapun, majlis berbuka tetap dianjurkan secara bergilir-gilir bagi mengeratkan hubungan sedia terjalin.
Apabila berbuka bersama, pelbagai menu istimewa dapat dinikmati antaranya nasi beriani, nasi ayam, laksa, nasi putih dengan pelbagai jenis lauk seperti masak lemak cili api. Manisan dan kuih muih tradisional serta bubur turut disajikan.
Penulis ialah Penasihat Pendidikan dan Latihan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan