SK Jasin tewaskan 300 penyertaan
|
|
PUTRAJAYA 11 Julai - Sekolah Kebangsaan (SK) Jasin, Melaka, diumum sebagai juara Pertandingan Projek Pendidikan Kebangsaan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) 2010 di sini, baru-baru ini.
Pasukan yang diwakili oleh Batrisya Mohd. Khaidar, Muhamad Arif Fikri Norasid, Adwa Zulfaka dan Nor Iffah Munirah Yahaya berjaya menewaskan 300 penyertaan sekolah lain dari seluruh negara.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dr. Mahathir berharap agar generasi hari ini dapat mempertahankan tanah air seterusnya menjadikan negara ini sebuah negara yang berjaya.
"Lengkapkan diri dengan ilmu dan banyak membaca kerana ilmu dapat menjamin kehidupan yang lebih sempurna," pesan negarawan ulung ini.
Pertandingan anjuran Thinkquest dengan kerjasama YKP dan Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan menggalakkan pelajar mendalami sejarah tanah air di samping membina jati diri serta memupuk semangat patriotisme.
Selaku juara kategori sekolah rendah, SK Jasin berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500 serta piala pusingan. Juara kategori sekolah menengah milik Kolej Tunku Kurshiah dari Negeri Sembilan.
Sementara itu, Guru besar SK Jasin, Ahmad Othman berkata, beliau sangat kagum dengan usaha murid-muridnya menjalankan kajian selama dua bulan dengan penuh kesungguhan.
Katanya, mereka menjalankan kajian tanpa rasa jemu walaupun sibuk dengan peperiksaan dan dalam masa yang singkat mereka berjaya menghasilkan kajian yang sempurna.
"Mereka turut mendapat bimbingan daripada guru-guru yang berkaliber," jelasnya.
Menurutnya lagi, kejayaan SK Jasin secara tidak langsung dapat mengharumkan nama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jasin dan Melaka selaras menjadikan Melaka sebagai negeri cemerlang dan gemilang.
Semoga kejayaan ini, ujar Ahmad, akan dapat menaikkan semangat murid yang mewakili sekolah dengan mencipta kejayaan lain.
"Saya amat yakin dengan kebolehan murid-murid ini walaupun sekolah kami terletak dalam kategori sekolah luar bandar," tuturnya.
1 ulasan:
Two Thousand Five Hundred Only... banyak tuu!
Catat Ulasan