PUTRAJAYA: - Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat berdasarkan pertimbangan objektif dan bukannya politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
2: Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan kepada kajian saintifik terhadap perkara itu.
3:“Ia dibuat bukan kerana faktor politik atau pilihan raya kecil Manik Urai. Ia dibuat kerana kepentingan negara,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan pemansuhan itu di Kementerian Pelajaran di sini.
4:Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata keputusan kerajaan itu sejajar dengan kajian UNESCO yang menunjukkan adalah lebih mudah pelajar menguasai ilmu di peringkat awal persekolahan dengan menggunakan bahasa ibunda.
5:Beliau berkata walaupun kerajaan sedar mengenai kelemahan pelajaran dalam menguasai bahasa Inggeris di peringkat awal PPSMI, dasar itu hanya ditukar sekarang selepas selesai pusingan enam tahun pelaksanaannya.
6:“Tak wajar menukar dasar ini di pertengahan pelaksanaannya,” katanya.
7: Muhyiddin berkata, perubahan akan bermula pada 2012 bagi memberi masa yang cukup kepada kerajaan, guru dan pelajar untuk membuat persediaan.
8:Ketika ditanya sama ada dasar itu merupakan satu kegagalan, beliau berkata PPSMI tidak mencapai tujuannya kerana peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru dan pelajar adalah sangat rendah.
9:“Saya juga seorang bapa dan saya juga ingin melihat anak saya menguasai bahasa Inggeris,” kata Muhyiddin sambil menjelaskan bahawa sistem pelajaran yang baru memberi ruang bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Inggeris tetapi pada masa yang sama mendaulatkan Bahasa Malaysia.
10:Ketika ditanya sama ada kelulusan dalam bahasa Inggeris akan dijadikan satu syarat wajib kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, beliau berkata kerajaan menerima sambutan yang baik daripada orang ramai mengenai perkara itu dan akan membuat keputusan tidak lama lagi.
11:Ditanya sama ada kerajaan membazir wang berbilion ringgit dengan memansuhkan PPSMI setelah ianya dilaksanakan selama enam tahun, Muhyiddin berkata kerajaan tidak mahu objektif dasar itu gagal dicapai setelah banyak wang dibelanjakan.
12:“Kalau kita belanja berbilion ringgit dan sistem tak berkesan, ia akan jadi kegagalan berganda,” katanya.
13:Bagaimanapun, menurut Muhyiddin, pelaburan yang dibuat dalam melaksanakan PPSMI itu bukanlah ‘hangus’ begitu sahaja kerana komputer-komputer sedia ada masih boleh digunakan, cuma perisiannya sahaja yang ditukar.
14:Mengenai langkah kerajaan untuk menambah lebih 13,000 guru bahasa Inggeris bagi memperkukuhkan pengajaran bahasa itu sedangkan guru bahasa itu memang sentiasa berkurangan di negara ini ketika ini, Muhyiddin berkata usaha akan dibuat untuk memenuhi sasaran itu.
15:Ditanya sama keputusan kerajaan itu bercanggah dengan aspirasi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkenalkan dasar itu, Muhyiddin berkata, Dr Mahathir umumnya menerima hakikat mengenai perlunya dasar itu diubah.
16:Katanya, beliau dan pegawai kanan kementerian itu telah berbincang lebih tiga jam dengan Tun Dr Mahathir bagi menerangkan mengenai kesukaran untuk meneruskan PPSMI.
17: “Dr Mahathir umumnya menerima hakikat ini dan Kerajaan mengambil kira pandangan Dr Mahathir untuk meningkatkan pengusanaan bahasa Inggeris termasuk menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dan mewujudkan makmal bahasa. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan